Friday, September 4, 2009

MOM yakin Laos akan berjaya


Tunku Imran Tuanku Ja'afar (kanan) dan Azman Hashim bertukar dokumen pada majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Kumpulan AmBank dengan Majlis Olimpik Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - Laos mungkin tidak mampu menawarkan fasiliti lima bintang, namun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yakin, negara itu bakal menganjurkan Sukan SEA 2009 dengan jayanya.

Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata, persiapan Laos menjelang Temasya 9-12 Disember itu berjalan dengan lancar.

Malah, ujarnya lagi, memandangkan Sukan SEA merupakan antara acara besar pernah diadakan di Laos, maka negara itu amat bersemangat untuk memastikan ia berjalan dengan sempurna.

"Anda tidak perlu risau dengan persiapan Sukan SEA, walaupun Laos sebuah negara kecil. Semua berjalan dengan amat baik dan saya percaya, ia akan berlangsung tanpa banyak masalah.

"Mereka memiliki stadium yang besar dengan fasiliti yang bagus, dan saya tidak nampak masalah besar akan timbul kerana Sukan SEA adalah acara yang mereka benar-benar ingin anjurkan.

"Saya rasa, anda sendiri kena menganggap dan percaya bahawa temasya akan berjalan dengan baik kerana mereka telah melakukan persiapan yang sebaiknya,'' ujar Tunku Imran, semalam.

Beliau berkata demikian selepas upacara menandatangani perjanjian penajaan antara MOM dan Kumpulan AmBank di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim.

Sementara itu, Tunku Imran juga menasihati sukan menembak dan memanah agar tidak gusar dengan perubahan sistem mata yang akan digunakan di Laos.

Ujarnya, walaupun gelanggang pertandingan menggunakan sistem mata baru yang bakal menyukarkan atlet negara tetapi masalah itu adalah masalah umum yang turut dihadapi atlet negara lain.

"Ia bukan perkara yang perlu dibimbangkan. Kalau perubahan sistem mata menjadi masalah kepada Malaysia, maka ia juga akan memberi masalah kepada negara lain kerana ia adalah sistem baru.

"Semua orang masih asing dan tidak biasa dengan perubahan, jadi ia tidak memberi kelebihan kepada sesiapapun,'' ujarnya lagi.

Menembak sebelum ini mensasarkan empat pingat emas untuk dibawa pulang pada Sukan SEA Laos, sekali ganda daripada dua emas yang diraih pada Temasya di Korat, dua tahun lalu.

No comments:

Post a Comment