TIGA penembak kebangsaan yang baru kembali daripada penggantungan, Bibiana Ng Pei Chin, Siti Nur Masitah Mohd. Badrin dan Joseline Cheah Lee Yean membuktikan mereka masih unggul apabila menguasai acara 25m Sport Pistol Wanita pada temasya Mini Olimpik 2009 semalam.
Pada saingan yang berlangsung di Lapang Sasar Subang itu, Bibiana merangkul pingat emas selepas berjaya mengumpul 579 mata mengatasi Masitah dengan 572 mata untuk pingat perak dan Joseline dengan 566 mata untuk pingat gangsa.
Mereka mengatasi lapan lagi penembak lain yang turut beraksi dalam acara tersebut.
Bibiana bagaimanapun gagal memecah rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 582 mata yang dicatat pada tahun 2004.
Bibiana, Masitah dan Joseline sebelum ini telah digantung selama dua tahun oleh Persekutuan Menembak Antarabangsa (ISSF).
Sementara itu, pada acara 10m Air Rifle Lelaki, Muhamad Shahril Sahak merangkul pingat emas selepas mengutip 581 mata.
Pingat perak menjadi milik Muhd Zubair Muhamad manakala Mohd. Norahimin Abd. Halim merangkul pingat gangsa.
Mini Olimpik 2009 menjadi pentas utama bagi Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) untuk memilih atlet ke Sukan Perpaduan Islam Kedua di Tehran serta Sukan SEA di Laos, Disember depan.
No comments:
Post a Comment