
KUALA LUMPUR - Ketika Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) sudah bersedia menggunakan tiket wildcard, jaguh lompat bergalah, Roslinda Samsu berjaya menyelamatkan maruah mereka dengan layak ke Kejohanan Dunia di Berlin menerusi merit, hanya sehari sebelum penyertaan ke kejohanan itu ditutup.
Selepas lima kali mencuba, Roslinda akhirnya berjaya melayakkan diri pada percubaan kelima tahun ini setelah melepasi ketinggian 4.35 meter pada Mini Olimpik di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.
Juara Asia itu layak menerusi kategori B, menjadikannya atlet tunggal Malaysia bakal bertanding pada kejohanan 15-25 Ogos itu, yang juga penampilan keduanya di Kejohanan Dunia.
Kejayaan Roslinda semalam sekali gus tidak memerlukan KOAM menggunakan tiket wildcard, satu penyertaan yang diperuntukkan kepada mana-mana negara yang tiada seorangpun atletnya berjaya melayakkan diri menerusi merit.
Gembira dengan kejayaan pada saat akhir itu, Roslinda, 27, berjanji akan memberikan yang terbaik untuk cuba memecah rekod kebangsaan miliknya, 4.40m yang dilakukan di Barcelona, dua tahun lalu apabila beraksi di Berlin kelak.
"Kejayaan ini amat bermakna dan menggembirakan kerana saya berdepan cabaran hebat tahun ini, termasuk sekatan beraksi dalam banyak kejohanan antarabangsa ekoran wabak H1N1 (selesema babi).
"Cabaran di sana (Kejohanan Dunia) amat hebat dan saya akan cuba menggunakan saingan yang kompetitif itu untuk memecah rekod kebangsaan yang juga catatan peribadi terbaik saya, 4.40m.
"Betul kata orang, tempat sendiri memang amat bertuah, hari ini saya melepasi kelayakan di Bukit Jalil dan ia sangat istimewa,'' ujar Roslinda, yang menolak tawaran berlatih di Eropah, awal bulan ini.
Roslinda yang melepasi 4.35m pada lompat keduanya, mengalahkan Kathleen Ong di tempat kedua (3.70m), manakala gangsa milik Nur Nadia Natalia dengan 2.80m.
Sekiranya Roslinda gagal melayakkan diri, KOAM telah bersedia menghantar dua atlet trek, Noraseela Khalid (400m berpagar) dan Rayzamshah Wan Sopian (110m berpagar) menerusi tiket wildcard.
Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim menjelaskan, tiket wildcard hanya ditawarkan kepada atlet trek dan bukan padang, namun sebaik sesebuah negara itu berjaya memiliki atlet yang layak menerusi merit, secara automatik tiket wildcard tidak ditawarkan.
"KOAM amat lega dan gembira dengan kejayaan Roslinda, dia meletakkan nama Malaysia di mata dunia, sama seperti yang dilakukannya ketika layak ke Sukan Olimpik.
"Memang kami tetap akan menghantar atlet ke Kejohanan Dunia menerusi wildcard jika tiada yang berjaya melayakkan diri, tetapi ia sedikit memalukan kerana sebagai sebuah negara yang maju di dalam sukan, Malaysia gagal layak menerusi merit,'' ujar Karim.
Menurut Karim, Roslinda akan berlepas ke Eropah secepat mungkin bersama jurulatihnya, Mansahar Abdul Jalil, di mana KOAM bercadang untuk mengatur beberapa pertandingan di sana sebelum Kejohanan Dunia bermula.
No comments:
Post a Comment