Sunday, June 7, 2015

Trio Wanita 10m Air Pistol Kekal Pencapaian Dua Tahun Lepas Dengan Pingat Perak

SINGAPURA, 7 Jun (Bernama) -- Impian trio wanita 10m Air Pistol negara menamatkan kemarau 14 tahun pingat emas tidak kesampaian apabila sekadar meraih pingat perak pada Sukan SEA ke-28 Singapura dalam acara berpasukan di Safra Yishun hari ini.

Gandingan Bibiana Ng, Joseline Chea dan Wahida Ismail membidik 1,125 mata sekali gus mengekalkan pencapaian yang sama ketika Sukan SEA Myanmar dua tahun lepas.

Pemenang pingat emas ialah Thailand yang diwakili oleh Pholprajug Phongpha, Prucksakorn Tanyaporn, Klaisuban Pim On yang mengumpul 1,134 mata.

Manakala tuan rumah, Singapura yang mempetaruhkan Teo Shun Xie, Nicole Tan, Teh Xiu Hong sekadar memperoleh pingat gangsa dengan 1,124 mata.

Kali terakhir trio wanita negara meraih pingat ialah menerusi Bibiana, Irina Maharani dan Suefarinawathy pada 2001 ketika Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan tersebut.

"Kami telah melakukan yang terbaik. Jurulatih banyak memberikan sokongan. Jumlah mata keseluruhan bagus. Prestasi saya juga baik di sini," kata Bibiana.

Bibiana yang membuat penampilan kelapan dalam Sukan SEA turut meraih tiket final selepas menduduki tempat keempat.

Seorang lagi atlet negara yang turut meraih tiket final ialah Joseline yang menduduki kedudukan ketiga daripada 19 peserta. Namun Wahida gagal meraih tiket final apabila menduduki tempat ke-12. Hanya lapan perserta terbaik sahaja layak ke final.

Dalam pada itu trio lelaki 10m Air Pistol pula hambar selepas menamatkan saingan di kedudukan keempat daripada lima pasukan.

Gandingan Jonathan Wong, Eddy Chew dan Choo Wen Yah membidik 1,693 mata iaitu kurang satu mata kepada pasukan tuan rumah yang memperoleh pingat gangsa.

Pingat emas diraih oleh trio Vietnam yang mengumpul 1,727 mata dan pingat perak diraih oleh Thailand dengan 1,704 mata.

Hanya Jonathan sahaja yang melepasi saingan akhir lelaki 10m Air Pistol selepas muncul dua penembak terbaik pada sesi kelayakkan tadi.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment