TZE Liang tuai emas acara 10m platform lelaki.
Atlet terjun semakin hampir mengulangi pencapaian di Myanmar apabila menambah dua lagi pingat emas di Pusat Akuatik OCBC menerusi acara tiga meter papan anjal seirama wanita dan 10 meter platform lelaki semalam.
Ooi Tze Liang terus cemerlang dengan meraih emas ketiganya di Singapura dalam acara 10m platform dengan mengumpul 415.50 mata, menewaskan rakan senegara, Chew Yiwei perak (393.65) dan penerjun tuan rumah Jonathan Chan gangsa (356.55).
Menurut Tze Liang, sebab utama mengapa dia sentiasa bersungguh-sungguh dalam sukan terjun adalah disebabkan kisah silam apabila dia gagal mencatat keputusan cemerlang dalam pelajaran.
“Sejak kecil saya tidak begitu bagus dalam pelajaran. Ia menyebabkan saya memberikan tekanan kepada diri sendiri untuk berjaya dalam sukan. Saya mula mencintai acara ini dan sentiasa mahu mencatat keputusan cemerlang setiap kali mengambil bahagian dalam mana-mana pertandingan,” katanya.
Mengulas aksi semalam, Tze Liang berkata, dia gembira dapat meraih emas ketiga walaupun pada tiga terjunan terakhir kurang stabil kerana sudah masuk hari ketiga berturut-turut dia mengambil bahagian.
“Saya harap dalam acara terakhir esok (hari ini) iaitu 3m papan anjal serirama, saya mampu memberikan aksi terbaik. Saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai pingat. Saya hanya perlu buat seperti dalam latihan,” katanya.
Sementara itu, Wendy Ng-Nur Dhabitah Sabri cemerlang dalam acara 3m papan anjal seirama wanita dengan mengumpul 292.62 mata, mengalahkan gandingan Singapura, Fong Kay Hian-Ashlee Tan (242.94) dan gangsa milik Le Thanh Thuy Hoang-Phuong Mai Ngo dari Vietnam (227.94).
“Saya berjaya meraih emas yang diidamkan selepas kami melakukan terjunan seperti biasa. Ia pengalaman berguna buat kami dan berharap dapat melakukan lebih baik di Kejohanan Dunia di Kazan,” kata Wendy.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment