Wednesday, June 3, 2015

Skuad remaja sedia gempur

Kuala Lumpur: Skuad remaja negara dilihat sudah bersedia untuk beraksi pada Sukan SEA di Singapura selepas mempamerkan aksi meyakinkan sekalipun tewas 3-5 kepada pasukan senior pada perlawanan persahabatan semalam.

Pada masa sama, skuad bimbingan Arul Selvaraj menerima perkhabaran buruk selepas satu-satunya pemain senior disenaraikan untuk ke Singapura, iaitu penjaga gol Khairulnizam Ibrahim terpaksa diketepikan berikutan kecederaan hamstring pada sesi latihan, Khamis lalu.

Situasi itu menyaksikan Arul kini membawa 100 peratus barisan pemain remaja selepas menyenaraikan Mohamad Adi Fazri Ab Rahim untuk menggantikan Khairulnizam yang juga pernah berada dalam skuad senior negara sebelum ini.

“Walaupun tewas, saya puas hati dengan persembahan setiap pemain. Mereka menunjukkan usaha tinggi untuk menang.

“Harap-harap prestasi seperti ini dapat dikekalkan apabila beraksi di Singapura nanti,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan semalam.

Jelas Arul, beliau tidak mempunyai pilihan lain selain perlu menggantikan Khairulnizam dengan Mohamad Adi kerana skuad negara akan ke Singapura esok.

“Dia tidak sempat untuk melakukan rawatan dan saya perlu menggantikannya,” katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment