Monday, June 8, 2015

Renang mula mengorak langkah


KUARTET 4x200m gaya bebas negara yang diwakili (dari kiri) Kevin Yeap, Ching Hwang, Wilson Sim dan Daniel menamatkan saingan dengan kejayaan meraih pingat perak dalam acara 2x200m semalam.

SINGAPURA – Selepas suram dengan hanya meraih satu pi­ngat gangsa daripada enam acara yang disertai kelmarin, kem renang negara mampu tersenyum apabila kilauan emas dan perak mula hadir.

Wong Fu Kang yang turun beraksi dalam acara 100 meter kuak dada berjaya meraih pi­ngat emas selepas mempamerkan aksi bertenaga untuk menamatkan saingan dengan catatan masa 1 minit 02.46 saat.

Apa yang lebih menggembirakan, catatan masa yang dilakukan Fu Kang itu telah memecah rekod kebangsaan miliknya sendiri yang dilakukan pada Terbuka Malaysia, Mac lalu apabila mencatat 1:02.56s.

Rekod kebangsaan untuk acara tersebut sebelum itu dipegang oleh Elvin Chia selama 15 tahun.

Pada peringkat saringan sesi pagi, perenang yang berasal dari Johor itu mencatat masa terpantas apabila melakukan 1:03.32s berbanding perenang lain yang layak ke peringkat akhir itu.

Menurut Fu Kang, dia begitu gembira dengan kejayaan tersebut kerana ia merupakan pingat pertama yang dimenangi selepas membuat dua penampilan pada Sukan SEA termasuk di Myanmar dua tahun lalu.

“Ini adalah Sukan SEA kedua dan pingat pertama untuk saya dan ia adalah pingat emas, saya sangat teruja dan gembira de­ngan kejayaan ini. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua jurulatih, keluarga dan rakan-rakan yang banyak memberi sokongan.

“Saya tidak pernah terfikir mengenai rekod, saya belajar daripada kesilapan semalam (kelmarin) dalam acara 200m kuak dada apabila terlalu awal melakukan pecutan dan keletihan pada saat akhir telah menghampakan impian saya.

“Saya agak gementar ber­aksi pada peringkat final ini tetapi saya melakukan beberapa strategi iaitu menyimpan tenaga pada 50m pertama dan pada 50m terakhir. Saya bangkit mengerah seluruh tenaga menuju ke garisan penamat ketika pencabar lain sudah agak keletihan dan saya berjaya,” katanya yang akan bersaing dalam acara 50m kuak dada Khamis ini.

Dalam acara tersebut, pi­ngat perak dimenangi perenang Thailand, Rodomyos Matjiur dan gangsa milik Joshua Hall dari Filipina.

Seorang lagi perenang negara, Shaun Yap Kah Choon menduduki tempat terakhir daripada lapan peserta.

Sementara itu, kuartet negara yang diwakili Daniel Bego, Welson Sim Wee Sheng, Kevin Yeap Soon Choy, Lim Ching Hwang berjaya meraih pingat perak dalam acara 4x200m gaya bebas apabila mencatat masa 7:30.13s, ketinggalan 11.99s di belakang Singapura yang merangkul pingat emas, manakala gangsa dimenangi kuartet Indonesia.

Bagi acara 100m gaya bebas, perenang negara, Alwyn Tan Yean gagal mempamerkan aksi cemerlang apabila berada di kedudukan ketujuh daripada lapan perenang ketika Singapura meraih pingat emas dan pe­rak menerusi Joseph Schooling dan Quah Zheng Wen.

Pingat gangsa dimenangi perenang Vietnam, Hoang Quy Phuoc.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment