Thursday, June 4, 2015

Pulih semangat!




KIM Swee (tengah) mengendalikan sesi latihan pasukan di padang Politeknik Nanyang dengan keadaan padang yang tidak rata

Detik kejayaan Sukan SEA Indonesia 2011 bakal menjadi pembakar semangat buat skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) negara untuk turun menentang juara bertahan Thailand hari ini bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir.


Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee kini di ambang penyingkiran kerana kalah atau seri dalam perlawanan ketiga kumpulan kepada Thailand di Stadium Bishan itu bakal menyaksikan mereka tersingkir awal.

Dihimpit isu memalukan pemain tengah Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang digantung enam perlawanan kerana meludah pemain Timor Leste serta kekalahan teruk 1-5 kepada Vietnam kelmarin, moral pemain negara kini menjadi kebimbangan.

Penolong pengurus skuad negara Datuk Halim Muazzam Ayob berkata, mereka kini dalam usaha memulihkan semangat pemain dengan menggunakan tayangan video kejayaan diraih di Jakarta empat tahun lalu.

Buat masa ini kita tengah fokus kepada persiapan menghadapi Thailand. Kami berjumpa seorang demi seorang pemain untuk memastikan mereka kembali bersatu dalam pasukan.

“Ada pemain yang tidak dapat menerima kekalahan semalam (kelmarin). Kami akan membuat tayangan video kejayaan 2011 serta beberapa aktiviti lain bagi menaikkan semula semangat mereka,” katanya kepada Arena Metro.

Pada Sukan SEA Indonesia, anak buah Kim Swee yang menewaskan Thailand 2-1 di peringkat kumpulan mencipta kebangkitan di final menentang pasukan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 selepas terikat 1-1.
Mengulas mengenai kedudukan Nazmi dalam pasukan, pihak pengurusan masih belum membuat keputusan.

“Memang dia akan pulang, tapi belum pasti. Bagi kami kes Nazmi bukan lagi keutamaan dan saya harap semua peminat fokus dalam memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan pasukan di sini,” kata Halim.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment