Saturday, June 13, 2015

Mohd Harrif Tamat Kemarau Pingat Emas Acara Lebuh Raya

SINGAPURA, 12 Jun (Bernama) -- Pelumba pasukan benua, Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh, yang mewakili negara buat pertama kali dalam acara lebuh raya pada temasya Sukan SEA terpaksa melawan rasa sakit untuk meraih pingat emas buat skuad berbasikal Malaysia.

Semalam, beliau dan beberapa pelumba lain terpaksa bergelut dengan masalah keracunan makanan.

"Saya muntah dua kali semasa di hotel sebelum datang ke tempat perlumbaan. Saya kemudian dibantu untuk pulihkan kesihatan saya...sapu minyak panas untuk mengurangkan rasa sakit.

"Semasa berlumba, saya tidak fikir pasal itu semua dan fokus kepada kayuhan saya. Keserasian yang sudah lama dengan pasukan banyak membantu saya untuk mencari ruang memenangi perlumbaan," katanya.

Perlumbaan sebanyak 15 pusingan dengan jarak 2.65km setiap pusingan itu menyaksikan pelumba-pelumba menamatkan saingan secara berkelompok.

Pingat perak acara itu dimenangi pelumba Vietnam Le Van Duan dan gangsa menjadi milik pelumba tuan rumah, Vincent Ang dengan catatan masa yang sama iaitu 53.46s.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan penantian pingat emas selama 10 tahun skuad berbasikal negara dalam Sukan SEA.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas ialah pada Sukan SEA Manila 2005 melalui Suhardi Hassan dan Noor Azian Alias.

"Saya berbangga dapat menang pingat emas sekali lagi walaupun dalam acara berbeza. Sebelum ini saya menang pingat dalam acara trek," kata pelumba berusia 26 tahun itu.

Sasaran beliau pada temasya Sukan SEA kali ini adalah untuk meraih satu lagi pingat emas dalam acara perlumbaan lebuh raya 140km pada Ahad ini.

Pada temasya Sukan SEA di Indonesia 2011, Mohd Harrif meraih dua pingat emas melalui acara trek iaitu pursuit berpasukan dan 10km scratch race.

Acara berbasikal trek tidak dipertandingkan di Sukan SEA Singapura.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment