Jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya terus fokus bagi pertemuan dengan Brunei di Stadium Bishan hari ini meskipun peluang mereka untuk mara ke separuh akhir sudah tertutup.
Perlawanan keempat Kumpulan B itu seakan tidak memberi sebarang makna apabila Malaysia mencatat kekalahan kedua di tangan Thailand 0-1 Khamis lalu selepas dimalukan Vietnam 1-5 dua hari sebelum itu.
Dengan hanya mengutip tiga mata hasil kemenangan ke atas Timor Leste skuad negara skuad negara terpaksa pulang awal kali pertama sejak 2007.
Namun Kim Swee masih menganggap tugas mereka masih belum selesai dan menuntut pemainnya supaya memberi tumpuan kepada baki menentang Brunei dan Laos.
“Walaupun peluang sudah tertutup tapi ada tugas untuk diselesaikan. Saya tak mahu pemain ambil mudah walaupun Brunei tewas dalam semua perlawanan setakat ini.
“Saya harap kita dapat mencapai matlamat untuk memburu kemenangan,” katanya.
Insiden kontroversi pemain tengah Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang digantung enam perlawanan kerana meludah pemain Timor Leste seakan memberi petanda awal kepada nasib buruk Malaysia kali ini.
Selain tiga mata penuh buat mengubat sedikit kedukaan, Kim Swee yang membayangkan untuk merombak kesebelasan utamanya mahu pemain tidak mensia-siakan kesempatan yang diberikan itu.
“Kemungkinan besar saya akan menurunkan pemain yang belum beraksi dan jarang beraksi esok (hari ini).
“Saya mahu pemain menunjukkan prestasi baik khususnya dari corak permainan kerana ramai pemain dalam skuad ini masih layak beraksi pada Sukan SEA akan datang,” katanya.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment