Misi menyapu bersih kesemua pingat emas skuasy di Sukan SEA bermula
semalam apabila Malaysia meraih dua pingat emas acara individu lelaki dan
wanita.
Sememangnya kejayaan itu sudah diduga apabila final kedua-dua kategori
itu mempertemukan atlet negara dengan Sanjay Singh Chal menentang Muhammad
Addeen Idrakie Bakhtiar manakala Rachel Arnold berdepan Vanessa Raj
Gnanasigamani.
Acara wanita terlebih dulu membuka saingan kemuncak itu dengan Vanessa
mendahului 13-11.
Namun rentak itu gagal diteruskan dalam tiga set berikutnya untuk Rachel
menguasai 11-9, 11-3, 11-5 bagi kemenangan 3-1.
Gangsa dikongsi bersama pemain Filipina Jemyca Aribado dan Mao Shi Yuan
(Singapura).
Bagi Rachel, 19, emas itu cukup bermakna buatnya yang tampil buat kali
pertama di temasya sukan dwi tahunan selepas kali terakhir dipertandingkan di
Korat 2007 (hanya acara lelaki).
“Perlawanan yang sukar kerana Vanessa memberikan tentangan sengit. Dia
pernah menewaskan saya beberapa kali sebelum ini jadi ia bukan mudah.
“Ini penyertaan pertama dan emas pertama sudah pasti saya sangat
teruja,” katanya.
Sementara itu dalam acara lelaki yang berlangsung di Pusat Skuasy
Kallang selepas itu, Sanjay tidak berdepan masalah menewaskan Muhammad Adden
dengan keputusan 11-7, 11-3 dan 12-10.
“Ini seperti impian menjadi kenyataan apabila memenangi emas. Kami
mensasarkan empat emas jadi kami sudah separuh jalan untuk mencapai sasaran
itu,” kata Sanjay yang meraih kejayaan terbesar dalam karier setakat ini.
Gangsa dikongsi dua atlet tuan rumah Samuel Kang dan Bryan Koh.
Malaysia yang tidak pernah tercicir emas sejak 1997 akan memburu emas
berpasukan lelaki dan wanita selepas ini.
No comments:
Post a Comment