Wednesday, June 3, 2015

Gangsa pingat sulung


HO Ying (kanan) dan Rou You beraksi menentang beregu Singapura

“Mereka mengawal permainan kami,” itu jawapan yang diberikan pasangan negara Ho Ying-Lee Rou You selepas sekadar meraih pingat gangsa acara beregu pingpong wanita di Stadium Tertutup Singapura, semalam.

Ho Ying-Rou You yang menghadiahkan pingat sulung negara di Singapura tumpas 9-11, 7-11, 8-11, 4-11 ketika berdepan pasangan tuan rumah yang juga pilihan utama, Feng Tianwei-Yu Meng Yu di separuh akhir.

Dua pingat gangsa diberikan kepada mereka yang tewas di separuh akhir.

Menurut Rou You, mereka sebenarnya boleh memberikan tentangan kepada pasangan tuan rumah itu tetapi semalam bukan hari terbaik mereka dan dalam masa sama mengakui punca utama ialah kerana tidak melakukan persediaan rapi.

“Nasib tidak menyebelahi kami, sebenarnya kami boleh memberi tentangan lebih baik berbanding tumpas 0-4,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan semalam.

Sementara itu, Ho Ying mengakui dia tidak puas hati dengan prestasinya semalam terutama dari segi mengawal pukulan bola pihak lawan hingga menyebabkan mereka menghadiahkan mata percuma kepada pasangan tuan rumah itu.

“Kami gagal mengawal pukulan mereka dengan baik tidak kira sama ada bola pendek atau panjang. Bagaimanapun, kami akan bangkit semula dalam acara berpasukan wanita,” kata pemain berusia 20 tahun itu.

Ditanya sama ada mereka boleh bangkit menjelang Sukan SEA 2017 Malaysia, Rou You berkata, mereka boleh menghadiahkan sesuatu kerana sudah lama berpasangan bersama sejak kedua-duanya berusia 14 tahun.

Pingat emas acara itu milik Lin Ye-Zhou Yihan dari Singapura yang menang 7-11, 11-5, 11-8, 12-10, 3-11, 10-12, 11-7 selepas mengalahkan rakan senagara, Tienwei-Meng Yu.

Satu lagi gangsa diraih pasangan Thailand, Nanthana Komwong-Suthasini Sawettabut.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment