Sunday, June 7, 2015

Ekuestrian bermula dengan pencapaian gangsa


TRIO dressage negara Mohd. Izry (kanan), Natalya Aira (tengah) dan Shaiful Azwan berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara berpasukan pada Sukan SEA 2015 di Singapura semalam.



SINGAPURA – Malaysia bermula dengan langkah kanan pada hari pertama acara ekuestrian temasya Sukan SEA 2015 yang bermula di Pusat Ekuestrian Singapura semalam.

Kejayaan itu hadir menerusi trio negara yang dibarisi Shaiful Azwan Mohamad Din, Mohd. Izry Razali dan Natalya Aira Wah Idris apabila berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara dressage berpasukan.

Lebih manis, kejayaan tersebut mengulangi pencapaian mereka pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand yang merupakan kali terakhir pingat gangsa dimenangi dalam acara berpasukan.

Biarpun trio negara itu membariskan atlet muda, Natalya Aira yang kali pertama menyertai temasya Sukan SEA, namun ia tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk memberi yang terbaik buat pasukan.

“Saya sangat gembira dengan prestasi saya hari ini (semalam) walaupun ia merupakan penyertaan pertama pada Sukan SEA. Memang ada tekanan tetapi saya berjaya mengawal perasaan gemuruh sewaktu bertanding.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran memandangkan saya ‘budak baharu’ tetapi tetap berpuas hati kerana mampu melakukan yang terbaik buat pasukan,” katanya.

Ternyata, kuda yang ditunggang Shaiful Azwan iaitu Thor De Martinpre, Mohd. Izry (Cookie N Cream) dan Natalya Aira (Tallong Coral) berjaya membantu pasukan dressage negara meraih 170.737 mata keseluruhan.

Begitupun, jumlah tersebut gagal menandingi Indonesia yang berjaya meraih pingat emas (206.579) dan perak milik Singapura (201.711).

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment