Walaupun tidak diberi sebarang perhatian, pelayar muda negara tampil mencuri tumpuan apabila memenangi emas kategori optimist campuran, petang semalam.
Skuad muda negara itu mengatasi tuan rumah Singapura serta Thailand yang sebelum ini disebut-sebut sebagai bakal juara dalam acara berkenaan kerana pernah bertanding di Kejohanan Optimist Dunia.
Kejayaan itu sekali gus menamatkan kemarau emas dalam acara Bawah 16 tahun itu yang sudah menjangkau 14 tahun.
Dalam acara final di Pusat Pelayaran Singapura semalam, Malaysia mengatasi tuan rumah 2-0 walaupun kehilangan Dhiauddin Rozaini yang dibatalkan penyertaannya kerana didakwa menyebabkan pelanggaran.
Akibatnya, atlet negara terpaksa bersaing dengan tiga anggota berbanding empat yang menyarung jersi tuan rumah di perlumbaan kedua.
Begitupun, ia sama sekali tidak meleburkan semangat juang Abdul Latif Mansor, Fauzi Kaman Shah dan Nor Nabila Natasha Nazri daripada muncul juara.
“Saya sangat gembira kerana kami berjaya membawa pulang emas daripada Sukan SEA ini.
“Kami menaruh keyakinan tinggi untuk menang walaupun sedar saingan amat sengit.
“Ketika kami hanya tinggal bertiga, kami gandakan usaha untuk melepasi garisan penamat,” kata Fauzi, 12, yang juga anggota termuda skuad berkenaan.
Sementara itu, Dhiauddin berkata dia kecewa apabila disingkirkan pada perlumbaan kedua namun perasaan itu hilang sebaik melihat rakannya muncul juara.
“Kami tewas di tangan Thailand serta Singapura di temasya Myanmar dua tahun lalu. Saya gembira dendam kami berbalas di sini,” katanya.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment