Thursday, June 4, 2015

Belum kibar bendera putih

ONG KIM SWEE belum berputus harap untuk membawa Malaysia melayakkan diri ke separuh akhir Sukan SEA 2015.

SINGAPURA – Selepas dibelasah 1-5 oleh Vietnam dan sekadar menang tipis 1-0 ke atas pasukan kerdil, Timor Leste dalam dua perlawanan pertama Kumpulan B, tiada siapa berani meletakkan harapan Malaysia mampu menumpaskan penyandang juara, Thailand dalam perlawanan ketiga bola sepak Sukan SEA di Stadium Bi­shan, petang ini.

Bagaimanapun, semua ‘cakap-cakap belakang’ yang kedengaran sejak kekalahan kelmarin tidak langsung dihiraukan oleh pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee.

Beliau sebaliknya menegaskan, tidak akan sesekali mengaku kalah selagi peluang masih ada, malah Kim Swee juga masih menaruh harapan sejarah Sukan SEA 2009 di Laos akan berulang di Singapura.

“Mood serta suasana dalam kalangan pemain memang kurang baik selepas kami kalah.

“Namun, selepas bertemu mereka, pemain sudah boleh menerima kekalahan ini dan cuba melupakan apa yang berlaku ketika menentang Vietnam kerana mereka perlu segera memberi tumpuan kepada pertemuan dengan Thailand yang dianggap perjalanan hidup atau mati.

“Walaupun terpaksa beraksi dalam keadaan cuaca panas atau keletihan, mereka kena ber­aksi sepenuh hati dan mental kena kuat.

“Apa jua taktikal yang akan saya gunakan tidak membawa sebarang makna jika mereka turun dengan fikiran yang negatif.

“Tiada apa yang mustahil dan sejarah 2009 sepatutnya dijadikan motivasi oleh mereka. Dalam bola sepak semua boleh berlaku dan saya harap pemain mampu menjelmakan kebangkitan.

“Pada kempen 2009, kita tewas kepada Vietnam (pe­ringkat kumpulan), namun kita bertemu mereka semula dalam perlawanan akhir dan meraih pingat emas. Jadi untuk pertemuan esok, kita kena tewaskan Thailand dan hidupkan kembali peluang kita,” kata Kim Swee pada sesi latihan di padang Politeknik Nanyang, semalam.

Pada Sukan SEA 2009 di Laos, Malaysia kalah 1-3 kepada Vietnam di peringkat kumpulan dan tampak seperti sudah terkeluar daripada persaingan.

Namun, kejayaan mengejutkan Thailand 2-1 dalam perlawanan terakhir kumpulan membawa mereka ke separuh akhir, di mana pasukan negara kemudian mengalahkan Laos.

Malaysia bertemu Vietnam sekali lagi dalam saingan akhir dan mencatat kemenangan 1-0, sekali gus membawa pulang pingat emas buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.

Berdepan Thailand, Kim Swee tidak menolak kemungkinan akan melakukan rombakan ekoran kebanyakan pemain masih kepenatan, dan hanya akan menurunkan mereka yang benar-benar cergas.

“Rombakan pasti akan dilakukan dengan melihat beberapa faktor, terutama daripada segi posisi dan kepenatan pemain.

“Kita boleh nampak dalam perlawanan pertama, ramai pemain terpaksa beraksi lebih 120 peratus apabila kekurangan seorang pemain semasa bertemu Timor Leste.

“Kemudian, beraksi menentang Vietnam yang menuntut mereka bekerja keras dan saya jangka ada perubahan dalam kesebelasan utama,” katanya.

Sumber:Utusan Online

No comments:

Post a Comment