Thursday, May 7, 2015

Penembak tepat jadi taruhan di Singapura



KUALA LUMPUR - Skuad menembak negara membariskan penembak terbaik mereka pada Sukan SEA Singapura, bulan depan bagi merealisasikan misi memperbaiki pencapaian di Myanmar dua tahun lalu.

Pengurus pasukan menembak, Muzli Mustakim berkata, antara penembak terbaik yang akan me­nyertai temasya kali ini ialah pemenang pingat perak Sukan Asia 2014, Ezuan Nasir Khan dan ratu menembak negara, Nur Suryani Taibi.

“Selain dua atlet tersebut kita juga membariskan penembak elit kami iaitu Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, Bibiana Ng Pei Chin serta Muslifah Zulkifli.

“Mereka ini adalah atlet berpe­ngalaman kami dan kami berharap dengan penyertaan mereka mampu memperoleh keputusan cemerlang buat kontinjen negara.

“Bagi kami untuk memperbaiki pencapaian lalu bukan satu tugas mudah kerana negara lain yang bertanding sudah pasti seperti kami juga yang membariskan penembak terbaik mereka,” kata Muzli.
Pada Sukan SEA 2013, skuad menembak hanya mampu meraih satu pingat emas, tiga perak dan empat gangsa.

Temasya Singapura bakal mempertandingkan 26 acara berbanding 12 pada Sukan SEA di Myanmar.



ZAZALI JAMIAN - UTUSAN


No comments:

Post a Comment