Monday, April 27, 2015

Penyokong Malaysia Diminta Jaga Maruah Negara Di Sukan SEA 2015


SINGAPURA, 26 April (Bernama) -- Bukan sahaja atlet negara yang harus berjuang mati-matian demi mengangkat imej sukan negara, para penyokong juga diharap mampu memikul maruah Malaysia pada temasya Sukan SEA 2015, di sini, Jun ini.

Daripada 36 acara yang dipertandingkan, kontinjen negara menyertai 35 acara termasuk acara yang menawarkan pingat yang menjadi 'ibu segala pingat' iaitu bola sepak.

Berdasarkan beberapa insiden penyokong bola sepak Malaysia, khususnya ketika kejohanan bola sepak Piala AFF Suzuki dan liga tempatan, wujud sedikit keresahan yang disuarakan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Kamsiah Kamaruddin.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman lepas serta beberapa insiden terkini berkait penyokong bola sepak, beliau meminta agar mereka menjaga tatasusila ketika berada di negara penganjur itu.

"Bola sepak memang menjadi tumpuan dan kami memang menjangkakan penyokong Malaysia akan datang ke Singapura untuk memberikan sokongan kepada pasukan negara.

"Apa yang kami harapkan, mereka menjaga tingkah laku serta mengikut segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Bukan sahaja atlet, para penyokong juga perlu jaga maruah negara," katanya ketika ditemui pada sesi lawatan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini.

Katanya, insiden yang timbul ekoran tindakan segelintir penyokong yang di luar kawalan, turut mendapat liputan di Singapura, dan ia sedikit mencemarkan imej penyokong bola sepak negara.

Acara bola sepak menyaksikan Malaysia diundi dalam kumpulan B, bersama Thailand, Vietnam, Laos, Brunei dan Timor Leste manakala pasukan tuan rumah dalam kumpulan A bersama Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Filipina.

Dalam pada itu, Kamsiah berkata untuk melancarkan perjalanan pada temasya Sukan SEA itu nanti, para penyokong diminta datang secara berkumpulan dan memaklumkan kedatangan mereka kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura lebih awal.

"Kami harap kerjasama penyokong Malaysia untuk lebih bersiap sedia sebelum datang. Harap mereka datang dalam kumpulan yang besar, senang kami hendak beri bantuan terutama di Causeway (Tambak Johor) dan Tuas.

"Kami minta penyokong datang lebih awal dengan dokumen yang betul dan sekiranya mempunyai sebarang masalah, datang berjumpa dengan kami. Kami mempunyai persiapan dan juga ikatan kerja yang baik dengan pihak Singapura untuk menyambut kedatangan rakyat Malaysia ke sini," katanya.

Mengenai pergerakan atlet pula, Kamsiah berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima maklumat mengenai jadual penuh kedatangan atlet yang dijadual menggunakan laluan darat ke negara tuan rumah itu.

Justeru, Kamsiah meminta agar pihak Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan lebih awal mengenai jadual ketibaan para atlet bagi membolehkan pihaknya berurusan dengan Imigresen Singapura.

Bernama difahamkan kontinjen negara akan menggunakan laluan Tuas untuk ke Singapura yang dikatakan kurang sesak berbanding di Tambak Johor.

Pengalaman delegasi SAM sendiri ketika lawatan itu, delegasi seramai 35 orang terdiri daripada exco SAM, wakil Majlis Sukan Negara (MSN) dan wakil media terpaksa berbaris hampir dua jam sebelum melepasi kawalan imigresen negara itu.

Daripada Zuriati Zulmi -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment