Tuesday, April 7, 2015

MOM Sedia Pertimbang Adi Ke Sukan SEA - Sieh

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Peluang atlet lontar peluru kebangsaan Adi Alifuddin Hussin mewakili negara ke Sukan SEA Singapura yang akan berlangsung Jun ini masih terbuka.

Walaupun Adi gagal melayakkan diri secara merit ke temasya dwitahunan itu namun Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata pihaknya masih mempertimbangkan untuk menghantar Adi menyertai kontinjen negara bagi kategori B.

Sieh berkata Adi masih berpotensi meraih pingat di Singapura nanti walaupun atlet itu gagal meraih tiket secara merit ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia dengan keputusan 15.87 meter.

Adi berjaya mencuri tumpuan pihak MOM apabila memperbaiki keputusan tersebut dengan lontaran sejauh 16.84 meter pada Terbuka Singapura minggu lepas.

"Adi ada peluang untuk meraih pingat di Sukan SEA, MOM akan mempertimbangkan untuk menghantar beliau ke Singapura, pada Kejohanan Terbuka Singapura minggu lepas beliau berhasil melakukan keputusan yang baik namun masih belum berhasil melepasi kelayakan yang ditetapkan iaitu 17.10 meter," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Untuk rekod Adi, 27, merupakan pemenang pingat perak bagi Sukan SEA sebanyak tiga kali berturut-turut sejak 2009.

Beliau juga merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan terbaik 17.53m ketika beraksi di Sukan SEA Palembang 2011.

Berbeza pula dengan nasib atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei gagal meraih tiket kategori B daripada MOM walaupun atlet berkenaan melepasi kelayakan dengan lompatan setinggi 2.17 m ketika di Terbuka Singapura.

Sieh berkata peluang untuk Hup Wei telah tertutup.

"Kejohanan Terbuka Malaysia adalah peluang terakhir untuk beliau (Hup Wei) meraih tiket ke Sukan SEA, bagi saya Hup Wei elok bersara, bukan saya tidak suka beliau. Kalau dia masih muda, peluangnya tinggi. Kita juga telah hantar dua nama atlet ke Sukan SEA dan mereka dipilih kerana mereka lebih layak," katanya.

Dua atlet lompat tinggi yang terlebih dahulu melepasi kelayakan ialah Nauraj Singh dan Muhammed Ashraf Saipu Rahman.

MOM telah menghantar nama lebih 600 atlet menyertai Sukan SEA Singapura yang berlangsung dari 5 hingga 16 Jun ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment