Monday, April 6, 2015

Belum tentu beraksi




Jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei (gambar) belum pasti beraksi di Sukan SEA Singapura biarpun melepasi syarat kelayakan di kejohanan Terbuka Singapura kelmarin.
Hup Wei melepasi syarat kelayakan selepas melakukan lompatan 2.17m, namun nasibnya kini terletak di tangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas 1 April lalu menjadi tarikh terakhir badan induk itu menghantar nama ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Hanya KOM berhak membuat keputusan apabila dua atlet Nauraj Singh dan Muhammed Ashraf Saipu Rahman sudah melepasi syarat kelayakan terlebih dulu.
Jurulatih Ashraf, Ahmad Najwan Aqra Hassaim berkata, dia tidak dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan terbaru berhubung tempat dalam acara lompat tinggi itu dan itu bermakna Ashraf tetap akan beraksi buat kali pertama di Sukan SEA nanti.

“Saya tidak pasti sama ada Hup Wei akan mengambil alih tempat Ashraf, tapi tarikh untuk menyenaraikan atlet ke temasya itu sudah ditutup dan Hup Wei mungkin tidak ke Sukan SEA biarpun lompatannya lebih baik daripada Ashraf.

“Jika mereka membuat keputusan menghantar Hup Wei itu tidak adil terutama ketika anak didik saya tidak menyertai Terbuka Singapura kerana mempersiapkan diri untuk ke Sukan SEA,” katanya.
Sementara itu atlet 100m negara, Mohd Izzuddin Yahya gagal menyumbang pingat buat negara apabila sekadar menduduki tempat keempat namun berjaya menebusnya dengan merangkul gangsa acara 200m.

Jurulatihnya, Nazmizan Mohammad berkata, persembahan Izzuddin tetap memberangsangkan kerana pertama kali menyertai kejohanan di luar negara dan dia kini sudah bersedia untuk menghadapi temasya dwi tahunan itu.

Katanya catatan 10.57s dilakukan itu dalam acara 100m dilihat pencapaian yang baik selepas dia berhempas pulas di Terbuka Malaysia minggu lalu.

“Selepas tiga hari beraksi di Terbuka Malaysia dia menyertai pula Terbuka Singapura. Biarpun begitu dia masih mampu berlari sekitar 10.5s,” katanya.

Pingat emas dan perak acara 100m itu dimenangi atlet Indonesia Iswandi yang mencatatkan 10.42s manakala Yaspi Boby 10.45s. Gangsa milik Calvin Kang dari Singapura (10.56s).



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment