Tuesday, January 13, 2015

Wei Feng bergelut pulih hamstring



Kuala Lumpur: Pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng (gambar) dilihat bergelut untuk pulih daripada kecederaan menjelang kejohanan pertama musim 2015, Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia di Stadium Perpaduan, Kuching, bermula esok.

Wei Feng yang menggalas tugas pemain perseorangan utama selepas ketiadaan Datuk Lee Chong Wei berkata, persiapannya sebelum ini berjalan lancar bagaimanapun dia mengalami kecederaan hamstring, Sabtu lalu.

”Saya masih mengejar masa untuk pulih menjelang perlawanan pusingan pertama yang berlangsung Rabu ini (esok),” kata pemain kelahiran Sungai Petani itu.
Wei Feng diletakkan pilihan ke-11 dan akan memulakan aksi pusingan pertama menentang pemain berpengalaman Indonesia, Sony Dwi Kuncoro.

“Saya meletakkan sasaran mara ke pusingan separuh akhir, tapi semua bergantung kepada tahap kecederaan saya, sempat sembuh atau tidak.
“Peluang saya bertemu Sony 50-50 dan berdasarkan laluan undian ia memang sukar, terutama perlawanan pusingan pertama,” kata pemain berusia 27 tahun itu. 

Andai berjaya menumpaskan Sony, menanti Wei Feng di pusingan kedua rakan senegara, Mohamad Arif Abdul Latif atau seorang lagi wakil Indonesia, Andre Marteen.

Ditanya adakah beraksi di gelanggang sendiri untuk kejohanan pertama musim ini memberi tekanan kepadanya, pemain ranking ke-32 dunia itu mengakui sedikit tertekan.

Selain Wei Feng, turut beraksi di pusingan pertama esok ialah Liew Daren yang akan bertemu Takuma Ueda (Jepun) manakala Goh Soon Huat berdepan pemain India, Anand Pawar.





Oleh Ferzalfie Fauzi

ferzalfie@hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment