Tuesday, January 13, 2015

Ratu Wushu Negara Harap Sumbang Emas Sukan SEA Singapura

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Ratu wushu negara, Diana Bong Siong Lin berharap mampu bangkit semula untuk mengulangi kejayaannya dua tahun lepas sebagai penyumbang pingat emas pertama negara pada Sukan SEA Singapura yang dijadual berlangsung 5 hingga 16 Jun nanti.

Pada Sukan SEA edisi Myanmar 2013, Diana berjaya menepati ramalan sebagai penyumbang pingat emas pertama negara selepas mengungguli acara Nanquan individu wanita.

Atlet itu berkata walaupun latihan rasmi belum bermula, beliau telah berlatih sendiri sejak akhir tahun lepas bagi perbaiki beberapa kelemahan setelah gagal meraih pingat dalam acara gabungan Nanquan dan Nandao wanita pada Temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan tahun lepas.

"Saya jadikan kegagalan pada tahun 2014 di Incheon sebagai pembakar semangat untuk berkerja lebih keras pada tahun ini dan saya perlu buktikan sesuatu di Singapura nanti," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Diana berkata beliau dimaklumkan oleh rakan-rakannya bahawa Sukan SEA kali ini tidak mempertandingkan acara melibatkan senjata panjang.

Katanya, ia tidak menjadi halangan baginya kerana dapat memberi tumpuan kepada acara yang tidak melibatkan senjata seperti Nanquan, Changquan dan Taijiquan.

Atlet berasal dari Sungai Tapang, Kuching, Sarawak itu pernah meraih pingat emas dalam acara gabungan nanquan-nandao-nangun wanita pada Sukan SEA di Thailand pada 2007 dan berjaya mengulangi kejayaan sama pada Sukan SEA edisi Laos 2009 menerusi acara gabungan nangun-nandao wanita.

Namun, nasib tidak menyebelahi beliau pada Sukan SEA Indonesia 2011 apabila hanya meraih pingat gangsa menerusi acara gabungan nandao-nangun wanita.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment