Friday, January 16, 2015

Hanya Beng Hee Layak Ke Pusingan Kedua Kejohanan TOC

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Bekas pemain nombor tujuh dunia, Ong Beng Hee merupakan satu-satunya pemain negara yang berjaya melepasi halangan pertama pusingan kelayakan Tournament of Champions (TOC) J.P Morgan 2015, kejohanan Skuasy Sedunia Lelaki pertama tahun ini yang berlangsung di Terminal Grand Central, New York City, Rabu.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 34 tahun itu adalah pilihan pertama kelayakan berusaha melepasi undian utama dengan mengalahkan pemain tempatan, Chris Hanson 11-8, 11-6,10-12 dan 11-6, menurut laman web kejohanan www.tocsquash.com.

Beng Hee, yang tidak bertanding dalam acara profesional sejak Kejohanan Skuasy Dunia Lelaki November lalu, akan bertemu Mohd Ali Anwar Reda dari Mesir yang menewaskan pemain Kanada Shawn Delierre 14-16, 11-6, 11-8 dan 11-9 pada pusingan kedua.

Rakan sepasukannya, pemain nombor satu negara yang baru Mohd Nafiizwan Adnan dan pemain bebas Mohd Asyraf Azan gagal melepasi halangan pertama dalam pusingan kelayakan.

Mohd Asyraf kalah 11-4, 11-0 dan 11-8 kepada pilihan kedua Mazen Hesham dari Mesir manakala Mohd Nafiizwan tidak meneruskan permainan selepas menang set pertama 11-2 ketika menentang pemain Mexico Alfredo Avila.

Menurut laman web itu, Juara Dunia PSA 2014 Ramy Ashour terpaksa menarik diri daripada kejohanan akibat kecederaan manakala bekas pemain nombor satu dunia dari England James Willstrop, yang menjalani pembedahan pada pinggul September 2014, tidak dapat bermain kerana kecederaan itu.

Dalam acara wanita, ratu skuasy negara dan juga pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David akan beraksi buat kali pertama selepas merangkul kejuaraan kali kelapan dunia Disember lepas.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 31 tahun yang juga juara bertahan itu akan memulakan kempen bersama-sama pemain nombor dua negara, Low Wee Wern pada Isnin.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment