Tuesday, December 3, 2013

Waspada dalam musim tengkujuh - ISN

PUTRAJAYA - Institut Sukan Negara (ISN) mengingatkan atlet negara yang bakal beraksi pada Sukan SEA ke-27 di Myanmar agar mengambil berat terhadap kesihatan masing-masing ekoran musim tengkujuh yang mungkin melanda negara tuan rumah tersebut.

Ketua Pengawai Eksekutif ISN, Dato Dr. Ramlan Abd. Aziz berkata, kebanyakan atlet mungkin tidak menyedari keadaan persekitaran tersebut dan mereka diminta supaya lebih peka kepada cuaca terutama selepas hujan.

"Saya harap mereka ambil langkah berhati-hati terutama selepas hujan lebat. Selepas itu, matahari akan keluar dan biasanya nyamuk juga banyak, jadi mereka perlu berjaga-jaga terutama pada awal pagi dan lewat malam. Keadaan ini biasa bagi negara yang memiliki cuaca tropika," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Milo Mengumpul 2.7 juta Unit Tenaga Untuk Menjana Kontinjen Malaysia Melalui Inisiatif Tenaga Julangan Api Milo di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong dan Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi.

Menurut Dr. Ramlan, pihaknya akan menghantar 20 kakitangan, lima orang doktor, jururawat, fisioterapi dan juga pakar pemakanan yang akan bertugas sepanjang Sukan SEA di Myanmar.

Jelasnya, kakitangan perubatan yang dihantar bergantung kepada saiz kontinjen Malaysia dan setakat ini, MSN serta MOM telah bermurah hati membenarkan tujuh pegawai sains sukan untuk dihantar bertugas pada temasya dwi-tahunan itu.

"Malah, kita juga membawa pakar pemakanan dan pakar psikologi bagi memantau perkembangan atlet kita di sana," ujarnya.

Pada majlis terdahulu, Milo secara rasmi menyampaikan 2.7 unit tenaga yang dikumpul melalui inisiatif Tenaga Julangan Api Milo sebagai tanda sokongan kepada kontinjen Malaysia dengan menyalakan obor maya di laman web Milo.

Penyampaian disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Unit Perniagaan tenusu Nestle Malaysia, Ho Hau Chieh.

Menerusi inisiatif tersebut, Milo turut menganjurkan larian obor berganti-ganti di lokasi terpilih di seluruh negara dan turut mengumpul akur janji melalui Larian Marathon Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang .

Rakyat negara ini juga berpeluang menyatakan sokongan sepanjang temasya berlangsung dari 11-22 Disember ini melalui laman sosial Twitter, Facebook dan Instagram yang menggunakan hastag rasmi, MILOforMALAYSIA.

No comments:

Post a Comment