Tuesday, December 10, 2013

Phoon Eyin Cipta Kejutan, Lakar Sejarah Sumbang Pingat Emas Ke-1,000 Negara


NAYPYITAW, 9 Dis (Bernama) -- Atlet wushu pelapis negara, Phoon Eyin melakukan kejutan apabila berjaya menjadi penyumbang pingat emas ke-1,000 negara sejak Malaysia mula menyertai temasya Sukan SEA pada tahun 1959.

Lagu kebangsaan, 'Negaraku' berkemundang di Stadium Tertutup Wunna Theidki A hari ini apabila Phoon meraih pingat emas ketiga daripada kem wushu apabila mengungguli acara Qiangshu wanita.

Atlet berasal dari Negeri Sembilan itu mengumpul markah tertinggi iaitu 9.67 mata seterusnya mengatasi pemilik pingat perak, Thuy Vi Duong dari Vietnam dengan 9.59 mata.

Pingat gangsa bagi acara tersebut menjadi milik atlet Indonesia, Thalia Lovita Sosrodjojo yang memperolehi 9.40 mata.

Secara keseluruhan skuad wushu negara hari ini menambah koleksi sebutir pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa.

Pingat perak negara hari ini disumbangkan oleh Ho Mun Hua menerusi acara Nando lelaki dengan mengutip 9.68 mata.

Dua lagi pingat gangsa daripada acara wushu dikutip oleh Diana Bong Siong Lin menerusia acara Nangun wanita dan Ng Say Yoke dalam acara acara Daoshu lelaki.

Phoon, yang bukan diletakkan sebagai sandaran utama pingat emas, berkata beliau terkejut dan tidak sangka dapat menjadi penyumbang pingat emas ke-1,000 negara kerana terdapat lebih ramai atlet yang lebih baik daripada beliau.

"Saya rasa begitu gembira dan teruja dengan kejayaan ini," katanya kepada pemberita.

Phoon berkata beliau hanya melakukan persembahan seperti biasa dan seperti mana yang diajar oleh jurulatih dan tidak sangka bahawa itu adalah persembahan yang terbaik beliau.

"Semasa beraksi saya hanya buat biasa dan fokus kepada persembahan dengan anggapan bahawa atlet lain lebih baik daripada saya.

"Saya terkejut apabila memperolehi markah tertinggi," katanya yang kali pertama menyertai Sukan SEA.

Beliau berkata kejayaan itu adalah kejayaan bersama dan milik semua rakyat Malaysia serta rakan-rakan yang telah banyak membantunya sebelum ini.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu berkata beliau harap selepas ini mampu meraih satu lagi kejayaan dalam hidupnya iaitu di peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula.

"Saya harap dapat sekurang-kuranganya 3A dalam SPM kerana bagi saya akademik dan sukan adalah sama-sama penting," katanya.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Yoong Thong Foong berkata beliau turut terkejut dengan pencapaian luar biasa Phoon dan berharap anak didiknya mampu pergi jauh lagi dalam sukan wushu.

"Phoon merupakan seorang murid yang bagus dan bersungguh-sungguh ketika menjalani latihan malah beliau seorang yang berbakat," katanya.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment