Wednesday, December 4, 2013

Atlet Negara Perlu Ada Semangat Patriotisme Tinggi - Ketua Kontinjen Negara



KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan SEA Myanmar Datuk Amiruddin Embi mahu setiap atlet mempunyai semangat patriotisme yang tinggi untuk meraih kejayaan pada temasya berkenaan.

Beliau berkata semangat itu merupakan elemen penting yang perlu ada pada diri setiap atlet dalam merealisasikan impian meraih pingat emas, di samping melakar kejutan pada temasya dwitahunan itu.

"Saya berpuas hati dengan persediaan atlet ke Sukan SEA. Atlet negara yang menggalas cabaran ke Sukan SEA bukan sahaja perlu memberi persembahan terbaik tetapi mempunyai tugas penting dalam memastikan lagu Negaraku lebih kerap berkumandang di Myanmar.

"Kita mahu lihat semangat atlet naik ke podium. Saya tidak mahu meletak tekanan sukan mana yang akan menyumbang pingat emas pertama kerana saya mahu semua atlet bersungguh-sungguh meraih pingat emas di sana," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir atlet kebangsaan pada Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini Selasa.

Dalam lawatan itu, Amiruddin memantau persediaan skuad angkat berat, bola sepak wanita, memanah, sepak takraw dan olahraga.

Mengenai isu keselamatan di Myanmar, Amiruddin sekali lagi mengingatkan atlet dan pegawai supaya tidak perlu bimbang kerana pihak keselamatan negara berkenaan akan sentiasa memantau keadaan di sana.

"Sekarang tidak ada isu yang boleh mendatangkan risiko di sana. Saya percaya pihak Myanmar akan melakukan yang terbaik untuk memastikan Sukan SEA berjalan lancar...kita akan mendapat maklum balas dari semasa ke semasa.

"Pegawai dan atlet perlu tahu fokus mereka ialah beraksi di Sukan SEA, jadi elak daripada berkunjung ke tempat yang tidak memerlukan atlet dan pegawai ke sana...beri tumpuan di venue sukan masing-masing sahaja," katanya.

Kontinjen negara akan melibatkan 833 atlet dan pegawai yang akan menyertai 29 daripada 33 acara pada temasya berkenaan.

Sukan SEA ke-27 itu akan berlangsung dari 11 hingga 22 Dis di Naypyitaw, Yangon, Mandalay dan Ngwe Saung.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment