Monday, November 11, 2013

Trio 10m Air Pistol Lelaki Optimis Bidik Pingat Emas Sukan SEA, Myanmar

PETALING JAYA, 10 Nov (Bernama) -- Trio skuad menembak kebangsaan optimis mempunyai peluang untuk membidik pingat emas bagi acara 10m Air Pistol berpasukan lelaki pada temasya Sukan SEA, Myanmar bulan depan.

Jonathan Wong Guanjie yang akan beraksi bersama Eddy Chew dan Choo Wen Yan pada temasya dwitahunan itu, berkata walaupun pertama kali bergandingan, mereka tidak mempunyai masalah keserasian dan lebih bersemangat berbanding beraksi dalam acara individu.

"Prestasi kami tahun ini baik...tetapi masih banyak perlu diperbaiki terutamanya persediaan mental dan taktikal juga memainkan peranan penting ketika beraksi.

"Acara berpasukan memberikan kelebihan kepada kami kerana kami lebih bersemangat berbanding bagi acara individu yang lebih sengit," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kejohanan Menembak Asia Tenggara ke-37 di Lapang Sasar Kebangsaan, Subang, di sini Ahad.

Pada kejohanan itu trio kebangsaan itu memberikan aksi cemerlang dengan meraih pingat emas dengan bidikan 1,719 mata.

Pingat perak menjadi milik pasukan Hong Kong menerusi atlet mereka Wong Siu Lung/Hong Yongan/Man Chun Kit dengan 1,716 mata manakala pingat gangsa diraih oleh gandingan Gai Bin/Poh Lip Meng/Lim Swee Hon Nigel dari Singapura dengan bidikan 1,707 mata.

"Kami memang berpuas hati dengan pencapaian hari ini, memang tidak menyangka kemenangan ini. Bagi saya, kami boleh buat yang lebih baik lagi pada Sukan SEA nanti dan saya menjangkakan saingan sengit dari Singapura dan Vietnam," kata Jonathan.

Bagi acara 10m Air Pistol individu lelaki, atlet kebangsaan Eddy Chew meraih pingat gangsa dengan bidikan 152.2 mata.

Pingat emas menjadi milik Gai Bin dari Singapura dengan 196.4 mata manakala pingat perak diraih oleh Wong Siu Lung dari Hong Kong dengan 193.1 mata.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment