Monday, November 14, 2011

Song Hwa ceriakan olahraga



AKSI Tan Song Hwa ketika melakukan balingan dalam acara tukul besi wanita pada Sukan SEA XVII di Stadium Jakabaring, Palembang semalam.



PALEMBANG - Ketika tumpuan penonton di Stadium Jakabaring terarah kepada acara 'reben biru' emas 100 meter, yang menyaksikan kegagalan teruk atlet pecut negara, Tan Song Hwa menjadi penghibur kem olahraga Malaysia dengan kejayaan mempertahankan pingat emas baling tukul besi wanita.

Balingan kelima memberi tuah buat Song Hwa selepas mencatat 55.15 meter untuk mengenepikan pencabar dari Indonesia, Rose Herlinda Inggriana (51.95m), manakala Loralie A. Sermona dari Filipina (46.69m) ketiga.

Song Hwa mengakui amat berpuas hati dengan emas kedua berturut-turut, biarpun fikirannya sedikit terganggu kerana gentar dengan atlet lain yang dirasakan mampu memberi saingan.

"Selepas beberapa balingan, saya mula sedar bahawa pencabar saya tidaklah se kuat sebelum ini. Akhirnya semua berjalan lancar dan saya meraih emas,'' katanya.

Selain risau dengan pencabar lain, dia juga bimbang kecederaan belakang yang dialaminya mampu mengganggu prestasi.

Namun, azam yang kuat membantunya membuang semua masalah jauh-jauh.
"Saya rasa lega dapat mengatasi semua masalah, sebelum ini saya mengalami kecederaan belakang selama enam minggu namun semuaberjalan lancar hari ini, tetapi saya gagal memecah rekod Sukan SEA," katanya.
Dalam acara kemuncak 100m peserta negara Ambrose Jilom gagal menamatkan perlumbaan akibat kecederaan dan terjatuh pada pertengahan perlumbaan, manakala seorang lagi pelumba negara, Mohammad Noor Imran Hadi sekadar di tangga kenam dengan 10.55s.

Indonesia merangkul gelaran berganda dengan menjuarai 100m lelaki dan wanita. Franklin Ramses Burumi muncul raja pecut menerusi 10.37 saat, manakala Serafi Anelis Unani menjadi ratu pecut dengan kepantasan 11.69s. - Utusan

No comments:

Post a Comment