|
|
KUALA LUMPUR - Selepas mengungguli acara lompat bergalah wanita pada tiga temasya terakhir, Roslinda Samsu tidak mahu membawa pulang pingat lain selain daripada emas apabila beraksi pada Sukan SEA Indonesia 2011, sekali gus merangkul kejuaraan keempat berturut-turut.
Malah, atlet kelahiran Kuala Nerang, Kedah berusia 29 tahun itu yakin, dia akan berlepas ke Palembang esok bersama fizikal dan mental yang kuat, apatah lagi sudah menghampiri prestasi terbaik selepas melakukan lompatan 3.90 meter pada Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur, bulan lalu.
Katanya, pingat emas adalah sasaran utama pada penampilan keenam dalam temasya dwitahunan itu selepas bekerja keras sepanjang tahun ini dengan berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
"Saya harap tiada apa-apa yang tidak elok berlaku pada hari pertandingan, jika semua berjalan lancar pingat emas boleh dibawa pulang.
"Saya juga berharap ketika itu mental dan fizikal saya berada di tahap terbaik kerana sepanjang latihan semuanya berjalan dengan baik," kata Roslinda.
Dalam penampilan sulungnya di Sukan SEA iaitu di Kuala Lumpur 2001, Roslinda berjaya meraih pingat perak dan ia kemudian disusuli dengan gangsa di Vietnam 2003.
Bagaimanapun sejurus dia mula memenangi pingat emas pada Temasya di Manila 2005, atlet bertubuh kecil itu tidak lagi memandang ke belakang dengan terus mempertahankan kejuaraan di Korat 2007 dan Laos 2009.
Malah, Roslinda juga melakar sejarah olahraga tanah air dengan muncul juara Asia pada Kejohanan Asia di Amman, Jordan pada 2007 dan masih memegang rekod kebangsaan dengan lompatan terbaik 4.40m.
Pada temasya Laos dua tahun lalu, Roslinda memenangi emas ketiga berturut-turut menerusi catatan rekod baru temasya, 4.15m, menewaskan pencabar terdekat dari Vietnam, Le Thi Phuong.
Dia sekali lagi menjangkakan cabaran sengit bakal diberikan daripada atlet Vietnam, selain turut berdepan pesaing baru dari negara tuan rumah, Indonesia dan Thailand.
"Tiga negara tersebut mempunyai atlet yang bagus dan mampu mencabar pingat emas, bagaimanapun dalam acara lompat bergalah, saya hanya perlu memberi tumpuan kepada persembahan sendiri tanpa terlalu memikirkan tentang lawan.
"Ia pasti menggembirakan kalau saya berjaya menyumbang sebutir lagi emas buat Malaysia di Sukan SEA dan itu adalah matlamat utama saya tahun ini,'' kata Roslinda, yang merupakan salah seorang daripada atlet yang disasarkan emas di Indonesia.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyasarkan enam pingat emas di Palembang.
Selain Roslinda, turut menjadi sandaran mereka adalah Noraseela Mohd. Khalid (400m lompat berpagar), Tan Song Hwa (tukul besi wanita), Lee Hup Wei (lompat tinggi lelaki), Teoh Boon Lim/Lo Choon Sieng (jalan kaki lelaki) serta Yuan Yufang (jalan kaki wanita).
Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment