Monday, November 14, 2011

Pingat Gangsa Tidak Kecewakan Muslifah, Tumpuan Ke Arah Kelayakan Olimpik


PALEMBANG, 14 Nov (Bernama) -- Walaupun sekadar meraih pingat gangsa dalam acara 50m Rifle Prone wanita, Muslifah Zulkifli sedikitpun tidak merasa kecewa dengan pencapaiannya pada temasya Sukan SEA ke-26 Indonesia di sini, Isnin.

Pada pertandingan yang berlangsung di Lapang Sasar Menembak Jakabaring, Muslifah sekadar mengumpul 587 mata untuk pingat gangsa, sementara rakan sepasukan Nur'ain Ibrahim sekadar di tempat ketujuh dengan 584 mata.

Pingat emas acara itu dimenangi penembak tuan rumah, Maharani Ardy dengan 593 mata, manakala Vitchuda Pichikanjanakul dari Thailand meraih pingat perak dengan 592 mata.

"Saya bersyukur dapat menang pingat gangsa di sini. Semasa di Laos, saya menang pingat gangsa juga tetapi dalam kategori berpasukan. Di sini, hanya acara individu dipertandingkan," katanya.

Muslifah pada awalnya mendahului peserta-peserta lain tetapi dapat dipintas oleh penembak Indonesia dan Thailand.

"Pada peringkat awal saya sudah mendapat rentak tapi bila cuaca menjadi agak gelap, saya susah hendak melihat sasaran pada siri kelima. Empat bidikan saya hanya dapat 9.9 mata sahaja itu yang buat sedikit kecewa," kata Muslifah.

Menurut penembak yang berasal dari Pulau Pinang itu, tumpuannya kini terarah kepada Kejohanan Asia di Doha, Qatar pada Januari tahun depan bagi kelayakan ke Sukan Olimpik.

Dalam satu lagi acara menembak di Sukan SEA Indonesia yang melibatkan penembak negara, Jonathan Wong sekadar di tempat ketujuh dalam pertandingan akhir acara 10m Air Pistol dengan hanya 659 mata.

Acara itu dimenangi penembak dari Vietnam Hoang Xuan Vinh dengan 675.3 mata.



-- BERNAMA Daripada Farhanah Azmi

1 comment: