Tuesday, November 22, 2011

Malaysia Raih Enam Emas Termasuk Dari Bola Sepak Pada Hari Ke-11 Sukan SEA

JAKARTA, 21 Nov (Bernama) -- Malaysia menambah enam pingat emas pada hari ke-11 temasya untuk terus kekal di tangga keempat carta kutipan pingat keseluruhan, ketika Sukan SEA ke-26 yang bermula pada 11 Nov lalu berakhir esok.

Empat daripada emas tersebut diperolehi dari skuad berbasikal trek, satu emas dari acara bola sepak malam ini dan satu dari acara renang berirama.

Selepas tamat semua acara melibatkan atlet negara hari ini, kontinjen Malaysia mengutip 58 emas, 48 perak dan 77 gangsa.

Tuan rumah yang menjadi juara keseluruhan edisi ke-26 temasya, kukuh di persada carta kutipan pingat keseluruhan dengan mengutip 170 emas, 146 perak dan 134 gangsa.

Juara bertahan dari edisi di Laos, dua tahun lepas, Thailand berada di tangga kedua dengan 105 emas, 94 perak dan 118 gangsa, diikuti Vietnam (96, 90, 100).

Malaysia berada di tangga keempat, diikuti Singapura (42, 45, 73), Filipina (36, 55, 77), Myanmar (16, 27, 34), Laos (9, 12, 36), Kemboja (4, 11, 24), Timor Leste (1, 1, 6) dan Brunei (0, 4, 7).

Acara yang mencuri tumpuan pada hari ini ialah final bola sepak antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.

Pertemuan edisi ini dimenangi skuad Bawah 23 tahun negara kendalian Ong Kim Swee dengan menumpaskan Indonesia 5-4 melalui penentuan sepakan penalti, sekaligus membuktikan pasukan Malaysia terbaik di rantau ini.

Perlawanan penuh selama 90 minit berkesudahan seri 1-1.

Indonesia membuka jaringan menerusi Gunawan Dwi Cahyo pada minit ke-4 sebelum pemain Malaysia Mohd Asraruddin Putra Omar menyamakan kedudukan pada minit ke-33.

Terikat dengan jaringan itu sehingga tamat masa tambahan, penentuan pingat emas dilakukan melalui sepakan penalti.

Malaysia mempertahankan gelaran juara yang dimenangi dari edisi di Laos dua tahun lepas dengan keputusan muktamad 5-4.

Sementara itu acara berbasikal trek negara menghadiahkan empat pingat emas kepada kontinjen negara pada hari terakhir pertandingan.

mas tersebut diperolehi dari kategori Sprint Individu wanita, Sprint Individu lelaki dan Berpasukan Sprint wanita dan juga Omnium lelaki.

Pelumba negara yang berpangkalan di Melbourne, Australia Fatehah Mustapa meraih emas dalam kategori Sprint Individu wanita.

Pelumba Malaysia itu menewaskan pelumba Filipina Apryl Eppinger yang meraih perak sementara pelumba tuan rumah, Santia Tri Kusuma meraih gangsa.

Gandingan beliau bersama Ju Pha Som Net dalam acara Berpasukan Sprint wanita membuahkan satu lagi pingat emas buat negara.

Pingat perak pula diraih oleh atlet Thailand Chanakan Sricha Um-Jutatip Maneephan sementara atlet tuan rumah Santia Tri Kusuma-Riska Agustin mendapat gangsa.

Acara lelaki turut menyaksikan atlet negara Muhd Idros Md Yunos dan Mohd Fattah Amri Zaid mendominasi pingat emas dan perak menerusi acara Sprint Individu Lelaki menewaskan pesaing ketiga dari Thailand Satjakul Sianglam yang berpuas hati di tempat ketiga.

Muhamad Hafiz Mohd turut menyumbang emas selepas memenangi tiga daripada lima disiplin yang dipertandingkan dalam acara Omnium untuk meraih juara keseluruhan acara itu.

Beliau meraih tempat pertama dalam disiplin Flying Lap, Elimination dan Scratch sementara masing-masing nombor ketiga dan keempat dalam disiplin 4000m kejar mengejar dan mengutip mata (Points), cukup untuk mengenepikan pencabar-pencabar yang lain.

Seorang lagi pelumba negara Ahmad Fakhrullah Alias membawa pulang pingat gangsa setelah tewas kepada pelumba tuan rumah, Indonesia, Fatahillah Abdullah yang meraih pingat perak.

Muhamad Adiq Husainie Othman pula meraih perak dalam 30km Point Race lelaki setelah tewas kepada Renee Mier Lohn dari Filipina.

Pingat gangsa diraih pelumba Indonesia, Faroka Rully Ifnu.

Hari terakhir acara renang berirama turut menyaksikan Malaysia menjuarai kategori Kombinasi Bebas berpasukan.

Pasukan negara terdiri Katrina Ann Abdul Hadi, Tan May Mei, Mandy Yeap, Shareen Hui, Tasha Jane Taher Ali, Emanuella Mah, Gan Zhen Yu, Zyanne Lee, Zylane Lee dan Ling Yeo Pei telah mempamerkan persembahan yang konsisten dan bertenaga. Mereka memperoleh 37.213 mata untuk merit teknikal dan 38.150 mata untuk penataan artistik untuk mengumpul 75.363 mata, diikuti Singapura dengan 73.101 mata dan Indonesia dengan 71.713 mata.

Peninju negara Mohd Farkhan Haron terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 16-25 kepada peninju Indonesia, Alex Tatontos pada perlawanan akhir acara tinju kelas 75kg lelaki.

Atlet angkat berat wanita, Nur Jannah Batrisyah Teh meraih gangsa dalam acara 69kg ke atas wanita menerusi gabungan kategori 'snatch' dan 'clean&jerk'dengan angkatan keseluruhan 208kg.

Atlet tuan rumah Novita Sherly yang melakukan 224kg membawa pulang emas manakala rakan sepasukannya Riska Anjani memperoleh perak dengan 218kg.

Wushu yang turut melabuhkan tirai, memberikan dua pingat gangsa menerusi Tang Pei Pin dari acara Sanshou 60kg wanita dan Wong Wei Jian dari acara Shabshou 70 kg lelaki.

Esok merupakan hari terakhir temasya yang menawarkan 12 pingat emas kesemuanya dari acara paragliding yang diadakan di Bandung.

Majlis penutup temasya bagi edisi ke-26 ini akan diadakan malam esok di Palembang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment