Tuesday, November 8, 2011

Libasan Pornchai ke Palembang


PORNCHAI Kaokaew (melibas) dipertaruhkan semula bagi mengekalkan keunggulan Thailand dalam sepak takraw Sukan SEA XXVI yang bermula di Palembang, Jumaat ini.


KUALA LUMPUR - Sekalipun kerap unggul dalam Piala Dunia mahupun Siri Super, Thailand tetap memandang serius sepak takraw Sukan SEA XXVI Indonesia 2011 yang bermula, Jumaat ini dengan mempertaruhkan semula barisan juara kedua-dua kejohanan itu ke Palembang.

Dua emas berpasukan dan antara regu cuba dipertahankan skuad bimbingan Kamol Tankimhong, yang turut membariskan Kriangkrai Kaewmian, Siriwat Sakha (tekong), Anuwat Chaichana, Pornchai Kaokaew (pelibas) dan Pattarapong Yupadee (pengumpan).

Turut tampil di Dewan Pelancongan dan Pameran Jakabaring, Palembang nanti ialah ketua pasukan yang juga pengumpan veteran, Suriyan Peachan, 37, yang bakal memasuki Sukan SEA ketujuh dalam karier antarabangsanya sejak temasya Brunei 1999.

Bagi acara berpasukan, Suriyan yang turut berpengalaman beraksi dalam empat Sukan Asia sejak Bangkok 1998, dijangka berganding dengan regu tetapnya, Siriwat dan Pornchai, Pemain Terbaik Piala Dunia Pertama di Kuala Lumpur, Julai lalu.

Thailand akan bertembung musuh tradisi yang juga naib juara 2009, Malaysia selain Indonesia dan Myanmar dalam acara berpasukan lelaki, manakala antara regu menempatkannya dalam Kumpulan A juga dengan tuan rumah, Filipina dan Brunei.

Si Gajah Putih tidak menyertai beregu sejajar peraturan had monopoli Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), namun pelibas pakar acara itu, Supachai Maneenat, 26, akan melengkapkan barisan tiga apit kanan berpasukan mereka diikuti muka baru simpanan, Assadin Wongyota.

Kamol tidak menamakan Wirawut Na Nongkhai pada Piala Dunia mahupun Siri Super dan Piala Raja Thai di Bangkok, September lalu tetapi tekong muda yang juga anak jurulatih skuad wanita, Veeras ini akan kembali bagi Sukan SEA keduanya di Palembang selepas Korat 2009.

Wirawut, 20, pemenang pingat emas antara regu Sukan Asia Guangzhou 2010, akan berganding dengan Supachai dan apit kiri berusia 31 tahun, Somporn Jaisinghol.

Pemain simpanan lain Thailand ialah pengumpan muka baru, Sahachat Jenchaiyaphum, manakala tekong Kritsana Tanakorn pernah menewaskan regu ketiga Malaysia (Syazwan Husin, Norshahruddin Mad Ghani dan Faizul Hairy Osman) 15-12, 15-10 dalam Piala Raja Thai.

Malaysia masih belum mampu menjinakkan Thailand dalam acara berpasukan apabila dikalahkan 0-3 di Bangkok, September lalu; 0-2 di Guangzhou, November tahun lalu dan perlawanan akhir Sukan SEA Laos 2009.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas berpasukan (serta antara regu) Sukan SEA dengan menewaskan musuh ketatnya itu ialah pada 1991 di Manila di bawah bimbingan Haris Abdul Rahman.


Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment