Friday, November 18, 2011

KOM wajar bertanggungjawab nasib menimpa 4x400m

KUALA LUMPUR - Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) wajar bertanggungjawab ke atas nasib malang yang menimpa kuartet 4x400 meter lelaki dalam perjalanan mereka menghadiahkan emas di Sukan SEA 2011.

Itu tegas jurulatih olahraga, Hamberi Mahat yang kecewa dengan sikap pihak Jawatankuasa Kejurulatihan KOM terhadap layanan diberikan kepada kuartet tersebut.

Hamberi yang juga jurulatih kepada S. Kannathasan salah seorang ahli dalam kuartet tersebut berkata, tindakan meminggirkan mereka tanpa penilaian tepat sehingga menyebabkan keempat atlet tersebut pulang tanpa kalungan pingat emas adalah tindakan kurang profesional.

"Sewajarnya jawatankuasa di pengerusikan oleh Karim Ibrahim itu perlu mempunyai statistik tepat terutama dalam membuat penilaian terhadap kuartet lain yang bakal bertanding di Sukan SEA.

"Ini kerana kebanyakan kuartet 4x400m yang datang bertanding mempunyai catatan masa hampir sama dengan catatan masa kuartet kita dan mereka mempunyai peluang cerah untuk membawa pulang pingat," katanya kepada pemberita selepas mengalungkan pingat emas kepada kuartet tersebut di Majlis Sukan Negara (MSN), sini, semalam.

Kuartet tersebut hanya dapat dikalungkan pingat emas semalam di hadapan Pengurus Pasukan Olahraga Sukan SEA 2011, Rajmah Sheikh Ahmad iaitu empat hari selepas memperoleh kemenangan pada Isnin lalu.
Malah, hanya tiga daripada empat ahli kuartet sahaja yang hadir iaitu Kannathasan, Schezuan Ahmad Rosely dan Mohd. Yunus Lasaleh manakala P.Yuvaraj tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen terhadap peperiksaan semester di Institusi Pengajian Tinggi minggu ini.


Tambah Hamberi, KOM juga harus bertanggungjawab terhadap isu tiket pulang awal yang dihadapi kuartet tersebut sehingga tidak sempat menaiki podium bagi meraikan kejayaan.

"Mereka (KOM) yang menguruskan tiket pergi dan balik atlet kerana kuartet tersebut bertolak lewat daripada kontinjen olahraga dan paling menyedihkan mereka pergi tanpa jurulatih.

"Saya harap selepas ini Karim selaku pengerusi jawatankuasa kejurulatihan perlu lebih telus dalam membuat sebarang keputusan," jelas Hamberi. -UTUSAN

No comments:

Post a Comment