Wednesday, October 12, 2011

MSN tetap yakin kemampuan skuad takraw


ZOLKPLES (kiri) menyampaikan amanat kepada para pemain skuad sepak takraw negara di Bukit Jalil semalam.


MESKIPUN prestasi skuad sepak takraw negara kini umpama 'yoyo', Majlis Sukan Negara (MSN) tetap yakin pemain negara mampu mencipta kejutan pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, November ini.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong berkata, skuad kebangsaan perlu kembali bangkit di Indonesia selepas meraih emas buat kali terakhir pada temasya Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina.
"Saya yakin pemain kita mampu melakukan sesuatu walaupun sejak kebelakangan ini keputusan daripada perlawanan yang mereka sertai tidak begitu menggalakkan.

"Kalau pasukan kita nombor dua, orang kata kita gagal... semua orang mahu skuad negara menjuarai kesemua pertandingan," katanya kepada pemberita selepas meninjau latihan skuad sepak takraw kebangsaan di Bukit Jalil semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta pemain meningkatkan latih tubi dan memberi perhatian optimum terhadap permainan, terutama acara regu sebelum menyertai temasya berkenaan.

Sementara itu, jurulatih pasukan, Jamaluddin Hassan berkata, senarai penuh pemain ke Indonesia akan diumum selepas atlet selesai menyertai kem latihan pusat kelolaan MSN dari 1 hingga 4 November ini.
 
"Seramai 12 pemain lelaki dan sembilan wanita akan dipilih. Kita tidak maklumkan sekarang kerana tak mahu prestasi mereka merudum sebelum temasya bermula," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment