KUALA LUMPUR - Tempoh sebulan menjelang Sukan SEA 2011 akan digunakan sebaik mungkin oleh pelumba basikal trek, Fatehah Mustapa untuk mengkaji dan menilai tahap pelumba negara-negara Asia Tenggara yang lain terutama sekali Thailand dan tuan rumah, Indonesia bagi mencapai sasarannya meraih emas di temasya tersebut.
Menurut Olahragawati Terengganu 2009/2010 itu, peluangnya untuk meraih pingat dianggap sukar meskipun dia berpengalaman.
"Memang saya menyasarkan untuk memenangi pingat tetapi dalam masa yang sama saya perlu melihat lawan saya juga. Setakat ini saya tidak boleh meletakkan harapan yang tinggi kerana pelumba wanita dari Thailand dan Indonesia juga mampu memberi ancaman terutama sekali dalam acara pecut individu dan keirin," katanya.
Jelasnya, pelumba dari Thailand dan Indonesia jarang mengambil bahagian pada Siri Piala Dunia Klasik tetapi mereka begitu fokus dalam temasya seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.
"Keyakinan untuk memenangi pingat emas memang ada tetapi lebih terarah kepada acara ujian masa 500 meter manakala acara individu dan berpasukan kena tengok kepada taktik, kalau menjadi mungkin mampu meraih pingat.
"Saya akan cuba melakukan yang terbaik dalam acara pecut berpasukan tetapi masih belum pasti dengan siapa saya akan digandingkan, mungkin dengan Ju Pha Som Net," kata Fatehah yang kini menjalani latihan di Melbourne, Australia.
Ditanya mengenai latihannya, Fatehah mengakui semuanya berjalan lancar, namun dia tidak boleh berpuas hati kerana banyak perkara perlu dipertingkatkan lagi walaupun ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley menggunakan pendekatan latihan keras.
"Sekarang ini semua orang yang berada di Melbourne berada pada tahap kecergasan terbaik. Bagaimanapun fokus kami berbeza, di mana Mohd. Azizulhasni Awang dan Josiah Ng akan memberi tumpuan dalam kejohanan Siri Piala Dunia Klasik di Astana, Kazakhstan yang akan berlangsung bulan depan manakala saya dan Muhammad Edrus Md. Yunos bersedia untuk ke Sukan SEA 2011.
"Persediaan terakhir saya sebelum menyertai Sukan SEA 2011 ialah menyertai perlumbaan tempatan bersama pelumba dari Australia dan New Zealand bulan ini di Sydney. Saya akan mengambil bahagian dalam acara pecut individu dan keirin," katanya.
Fatehah juga akan kembali memberi tumpuan kepada kelayakan Sukan Olimpik 2012 London sebaik sahaja menamatkan misinya di Indonesia, dengan bersiap-sedia untuk Siri Piala Dunia Klasik pertamanya di Cali, Colombia.
"Selain di Cali saya juga akan mengambil bahagian di Siri Piala Dunia Klasik Beijing dan London dengan sasaran mengumpul sebanyak mata yang boleh,"katanya.
UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment