Thursday, August 4, 2011

Yuvaraaj azam pamer larian emas di Sukan SEA


P. Yuvaraaj


KUALA LUMPUR - Jaguh 400 meter negara, P. Yuvaraaj berazam menghadiahkan pingat emas pada Sukan SEA, November ini sekali gus mahu memperbaiki pencapaian pada penyertaannya dua tahun lalu dalam temasya dwi tahunan itu.

Pada penyertaan di Laos 2009, Yuvaraaj sekadar memperoleh tempat keempat dengan catatan masa 47.61 saat.

Kata Yuvaraaj, beberapa kelemahan yang ada dalam taktikal lariannya juga sedang diperkemaskan bagi memastikan sasaran tersebut mampu dimiliki.
"Permulaan dan penyudah larian saya ada sedikit lemah dan saya akan berlatih dengan lebih kuat lagi untuk memastikan larian saya lebih selesa.

"Setakat ini saya masih belum berpuas hati dengan prestasi semasa kerana kurang persediaan akibat jadual yang padat tahun ini," katanya kepada pemberita di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di, sini, semalam.
Tambah Yuvaraaj, ketika ini tumpuan terarah untuk persediaan ke Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Shenzen, China bermula 12 hingga 24 Ogos ini.

Atlet dari Kedah itu juga tidak meletakkan sebarang sasaran pada penyertaan pertamanya di Universiade ini kerana sedar cabaran yang menanti sangat hebat.

"Universiade ini bertaraf dunia semua atlet olahraga dunia akan beraksi di sini dan peluang untuk saya mendapatkan pingat juga sukar.

"Bagaimanapun saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk negara pada penyertaan pertama saya ini," jelas Yuvaraaj.



UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment