Wednesday, August 24, 2011

Mava langsai hutang dengan MOM

BEH SHUN TING (kanan) dan Luk Teck Hua antara pemain berpengalaman skuad bola tampar pantai wanita negara.


PERSATUAN Bola Tampar Malaysia (Mava) telah mendapat 'lampu hijau' daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk bertanding pada Sukan SEA di Indonesia, November depan.
Ini kerana Mava telah berjaya menyelesaikan hutang dengan badan induk berkenaan.

Setiausaha Kehormat Mava, Lim Poh Hong berkata, persatuan itu telah melunaskan hutang iaitu perbelanjaan tertunggak untuk Sukan SEA 2009 di Laos sebanyak RM51,000 kepada MOM pada awal bulan ini.
"Mava sedang bersiap sedia untuk menghadapi Sukan SEA. Kami akan menghantar dua pasukan untuk bola tampar pantai lelaki dan dua untuk bola tampar pantai wanita.

"Bagi acara bola tampar dewan pula, hanya pasukan lelaki sudah disahkan penyertaan.
"Kami masih berbincang sama ada hendak mengambil bahagian dalam kategori wanita atau tidak," kata Poh Hong.

Beliau berkata, Mava menyasarkan satu pingat bagi pasukan bola tampar pantai lelaki dan bola tampar pantai wanita pada temasya Sukan SEA kali ini.

Bagi acara bola tampar lelaki dewan pula, beliau berkata, Mava sekadar menetapkan sasaran hingga ke peringkat separuh akhir.

Poh Hong menambah, pasukan bola tampar pantai lelaki negara kini berada di Taiwan untuk menyertai Terbuka Taiwan sebagai sebahagian persiapan menghadapi Sukan SEA.

"Pasukan wanita pula baru saja pulang dari menyertai satu kejohanan di London.
"Walaupun kalah dengan pasukan-pasukan ternama dunia, mereka telah menunjukkan prestasi yang memuaskan," katanya.



KOSMO

No comments:

Post a Comment