Tuesday, December 15, 2009

Zaiful kecewa terlepas emas


ZAIFUL (belakang, kiri) menyerahkan baton kepada Idris pada saingan acara 4x400m semalam.


VIENTIANE, Laos - Semalam bukan hari gembira buat atlet olahraga negara, Mohd. Zaiful Zainal Abidin.

Dia bukan sahaja gagal mempertahan- kan pingat emas dalam acara 4x400 meter lelaki pada Sukan SEA XXV, malah lebih mengejutkan apabila namanya turut diketepikan daripada beraksi bagi acara 400m yang dijadualkan berlangsung Khamis ini.

Sebaik sahaja menamatkan acara 4x400m lelaki di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional semalam, Zaiful ternyata tidak dapat menahan lagi kesedihannya sehingga dilihat mengalirkan air mata.

"Saya bukan saja sedih sebab gagal mempertahankan pingat emas dalam acara ini (4x400m) tetapi apa yang lebih menyedihkan apabila nama saya digugurkan dalam acara 400 meter. Hati saya hancur berkecai apabila diberitahu nama saya digugurkan.

"Kenapa baru sekarang baru hendak beritahu nama saya digugurkan. Saya amat kecewa dengan keputusan ini kerana saya sudah cukup bersedia untuk beraksi dalam acara 400 meter.

"Kini semuanya sudah berakhir. Saya tidak boleh menebus kekecewaan ini dalam acara 400 meter nanti. Saya benar-benar terkilan dengan apa yang berlaku," kata Zaiful ketika ditemui semalam.

Ketika diminta mengulas prestasi kuartet negara dalam acara 4x400m semalam, Zaiful berkata, dia tidak menyalahkan rakan-rakannya yang dianggapnya telah melakukan yang terbaik.

"Itu sahaja yang mampu kami lakukan. Apa yang saya boleh katakan bukan mereka punca kegagalan kami. Mereka juga terus berusaha sedaya yang mungkin tetapi kuartet Thailand jauh lebih bagus.

"Saya terima kegagalan ini dengan hati yang terbuka. Saya harap ini satu permu- laan yang baik untuk kami bagi menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang.

"Kepada peminat sukan tanah air, saya mewakili rakan-rakan yang lain ingin meminta maaf kerana gagal menghadiahkan emas dalam acara 4x400 meter ini," kata Zaiful yang meraih gangsa dalam acara 400m pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.

Pada temasya yang sama juga, Zaiful bersama Mohd. Zafril Zuslaini, Amran Raj dan S. Theepan telah menyumbang emas dalam acara 4x400m.

Bagaimanapun, Zaiful yang turut bergandingan bersama Zafril serta dua muka baru, Idris Zakaria dan P. Yuvaraaj sekadar meraih pingat perak dalam acara 4x400m semalam selepas mencatatkan masa 3 minit 10.19 saat.

Pingat emas menjadi milik kuartet Thailand yang mencatatkan kepantasan 3:08.40s manakala kuartet Laos meraih gangsa dengan catatan 3:26.46s.

"Ini satu pengalaman yang berguna buat saya dan Yuvaraaj. Mungkin pengalaman yang menyebabkan kami gagal menyaingi kuartet Thailand tadi.

"Saya yakin kami mampu beraksi dengan lebih baik apabila didedahkan dengan lebih banyak kejohanan pada masa akan datang," kata Idris.

Kuartet wanita negara yang dibarisi Nurul Faezah Asma Mazlan, Norrohida Baidawi, K. Ganthimanthi dan Cynthia Manghing gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga teratas apabila hanya mampu menduduki tempat keempat dengan catatan masa 3:49.89s.

Acara tersebut dimenangi Thailand.

No comments:

Post a Comment