|
|
Karate, yang menyasarkan empat emas pada temasya kali ini berpotensi untuk memenangi dua daripadanya pada hari pertama acara itu, manakala taekwondo walaupun sekadar mensasarkan satu emas di Laos, namun berpeluang untuk meraih dua emas di hari pembukaan.
Turut menjadi tumpuan hari ini pastinya jaguh renang negara, Siow Yi Ting, yang turun mempertahankan acara 200m rampaian individu wanita, manakala Hasli Izwan Amir Hassan mencari emas dalam 25m standard pistol individu.
Acara kata berpasukan, baik lelaki mahu pun wanita jarang menghampakan Malaysia dalam sejarah Sukan SEA, dan kecemerlangan mereka ditagih untuk menjadi antara penyumbang awal emas di Vientiane.
Ketiadaan jaguh kata negara, Ku Jin Keat yang terpaksa menarik diri kerana menjalani pembedahan lutut meninggalkan tanggungjawab besar buat tiga peserta muda, Tan Chee Sheng, Kam Kah Sam dan Ricky Leon untuk mencari kejuaraan.
Walaupun ia merupakan satu cabaran baru pasukan negara, apatah lagi Kah Sam dan Ricky hanya membuat penampilan pertama di Sukan SEA, namun kata berpasukan tetap prospek terbaik untuk menyumbangkan emas Malaysia.
Malah, pasukan kata wanita, yang diperkuatkan oleh juara Asia, Lim Lee Lee, Thoe Ai Poh dan Tan Shi Ying juga tampak cukup mantap untuk memastikan sebutir emas dibawa pulang.
Sementara itu, di gelanggang taekwondo, tumpuan utama pastinya kepada kepulangan semula pemenang pingat emas 1997 dan 1999, Lee Wan Yuen.
Wan Yuen, 30, yang mengumumkan persaraannya selepas tamat Temasya Vietnam 2003 bersetuju menguatkan semula cabaran Malaysia, sekali gus menjadikannya sebagai pilihan untuk memenangi emas bagi kategori bawah 80kg wanita.
Meskipun sudah hampir enam tahun bersara, namun bekas atlet Olimpik negara itu masih berada di tahap terbaik, terutama selepas menyertai 10 atlet negara yang lain berguru hampir sebulan di Korea Selatan.
Selain Wan Yuen, sandaran emas Malaysia dalam acara taekwondo hari ini turut terarah kepada Chew Chee Chan, yang turun untuk mempertahankan gelaran bawah 73kg wanita.
Di kolam renang, Yi Ting menjadi sandaran terbaik Malaysia untuk menghadiahkan emas pada hari pertama acara renang.
Walaupun turun sebagai pemenang pingat emas dua kali berturut-turut, namun cabaran Yi Ting kali ini tidak mudah dengan kehadiran jaguh renang Singapura, Tao Li.
Yi Ting mengalahkan Tao Li dalam pertemuan terakhir mereka di Korat 2007, namun Tao Li menunjukkan peningkatan yang baik akhir-akhir ini, termasuk melayakkan diri ke perlumbaan akhir Sukan Olimpik 2008.
Begitupun, jurulatih kebangsaan, Paul Birmingham tetap optimis Yi Ting mempunyai kelebihan ke atas Tao Li dan berpotensi baik untuk menghadiahkan pingat emas.
Di lapangan sasar, Hasli bersedia untuk melakar sejarah memenangi dua pingat emas pada satu temasya, 25m standard pistol individu dan berpasukan.
Walaupun gagal menyerlah pada Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) di Bangkok bulan lalu, namun Hasli percaya dia masih berada pada kedudukan baik untuk mencari emas individu.
Malah, dia dan rakan-rakannya, Hafiz Adzha dan Khalel Abdullah turut menjadi sandaran utama Malaysia untuk membawa pulang emas acara berpasukan.
Kontinjen negara meletakkan sasaran 30 hingga 35 pingat emas pada Sukan SEA XXV, walaupun sasaran itu cukup sederhana, namun ia dijangka mampu meletakkan Malaysia selaku naib juara keseluruhan jika berjaya dicapai. – Utusan
No comments:
Post a Comment