Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin menegaskan, skuad bimbingan Zhang Yen itu tidak akan dibenarkan untuk menyertai sebarang kejohanan bertaraf antarabangsa selama setahun, bermula tahun depan.
Katanya, tindakan drastik itu dibuat ekoran kekalahan teruk skuad tersebut kepada Thailand (0-14) dan Vietnam (0-8), baru-baru ini.
"FAM tidak akan menghantar pasukan bola sepak wanita negara ke mana-mana kejohanan antarabangsa pada tahun depan.
"Sebaliknya, FAM akan memberi tumpuan penuh dalam pembangunan bola sepak dan futsal wanita di peringkat domestik kerana perkara tersebut adalah penting untuk perkembangan kedua-dua sukan itu di masa depan," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Khairy berkata, FAM sebenarnya sudah terlewat membuat keputusan untuk tidak menghantar skuad wanita negara ke Laos.
Jelasnya, tindakan itu tidak dapat dibuat kerana skuad tersebut telah pun mendaftar untuk menyertai kejohanan tersebut.
Mengulas lanjut mengenai tindakan berat tersebut, Khairy berkata, skuad tersebut akan hanya boleh kembali menyertai kejohanan antarabangsa setelah prestasi mereka meningkat.
"Skuad ini tidak akan menyertai apa-apa kejohanan yang dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selama setahun.
"Namun begitu, perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa masih boleh dilaksanakan oleh skuad tersebut.
"Mereka akan kembali beraksi di kejohanan antarabangsa setelah prestasi mereka kembali meningkat," ujarnya berhubung tindakan keras tersebut yang akan turut dikenakan kepada skuad futsal wanita negara. - Utusan
No comments:
Post a Comment