'Saya tidak hirau apa bakal dilakukan lawan'
TANGGUNGJAWAB untuk memulakan pungutan emas di kolam renang, harus bermula dengannya. Namun Siow Yi Ting tahu dia kini sudah lebih bijaksana untuk tidak membenarkan tekanan mengganggu tumpuan.
Ketika skuad negara membariskan majoriti perenang muda, Yi Ting adalah antara beberapa senior yang terus disandar harapan menyumbang emas buat menepati sasaran - bermula dengan acara 200m rampaian individu, hari ini.
"Saya tidak akan benarkan tekanan mengganggu. Apa yang saya mahu lakukan ialah berenang sepantas mungkin dan mencatat masa terbaik peribadi. Kini, dengan saya makin meningkat usia, saya belajar untuk tumpu perhatian kepada prestasi sendiri.
"Saya tidak lagi mahu bimbangkan apa mampu dilakukan pencabar lain, kerana ini adalah perlumbaan saya. Saya tidak peduli sepantas mana mereka berenang, jika saya mampu memberikan pingat emas kepada negara saya, itu sudah satu penghormatan," katanya.
Yi Ting adalah juara bertahan untuk acara 200m rampaian individu selepas memenanginya di Korat, dua tahun lalu. Dia juga turut disandarkan harapan menyumbang emas dalam acara kegemarannya - 200m kuak dada.
"Bagi saya, Sukan Sea tetap istimewa kerana ini adalah yang kelima selepas saya mula menyertainya pada 1999 di Brunei. Saya tidak ke Filipina pada 2005 tetapi yang lainnya, memang saya sentiasa mahu turut serta.
"Kali ini, saya baru pulang dari Amerika Syarikat dan baru minggu ini mengikuti latihan di bawah kendalian Paul (Birmingham, ketua jurulatih negara). Apa yang saya tumpukan ketika ini ialah memperbaiki teknik renangan untuk lebih mantap," katanya.
Selain Yi Ting, turut akan turun ke kolam renang, hari ini, ialah Ian Barr dan Melvin Chua (200m kuak lentang lelaki), Melvin (400m rampaian individu lelaki), Chui Lai Kuan dan Leung Chii Lin (100m gaya bebas wanita), Chan Kah Yan dan Cheng Karmen (200m kuak lentang wanita) dan Erika Kong (200 rampaian individu wanita).
Skuad negara akan turut bersaing dalam acara 4x200 gaya bebas lelaki dan wanita.
No comments:
Post a Comment