Thursday, December 17, 2009

Skuad double lelaki kecundang lagi kepada tuan rumah lagi

TEWAS lagi - hanya itu dapat menceritakan apa yang berlaku kepada skuad double lelaki negara yang kalah dalam dua perlawanan kumpulan B di Pusat Konvensyen Lao Itecc, semalam.

Gandingan Mohd Shaifullah Mohamed Nor (Mohamad Arif Busu) dan Nurakmal Firdauz Ahmad tumbang 18-21, 21-17, 12-15 kepada gandingan Laos, kekalahan kedua buat pasukan negara kepada tuan rumah selepas tumbang dalam acara antara regu.

Ia bertambah parah apabila mereka mengalami kekalahan kedua di tangan Vietnam, 18-21, 21-17, 13-15, sekali gus perlawanan menentang Indonesia hari ini sudah tidak bererti lagi.

"Semua yang mereka belajar ketika berlatih, langsung tidak dapat direalisasikan. Pemain kerap membuang bola dan memberi mata terlalu mudah kepada lawan," kata pengurus pasukan, Datuk Arshad Yahya.

"Saya benar-benar kecewa dan saya tidak tahu apa lagi yang mahu saya katakan kepada mereka. Saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada pemain kita."

Rasa marah orang kuat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) itu tampak berasas kerana baginya aksi dipersembahkan ketika menentang Laos benar-benar di luar jangkaan.

"Ketika permainan tie-break bertemu Vietnam, kita sepatutnya boleh menang dengan mudah kerana kelebihan memihak kepada kita tetapi pemain membazirkan semua peluang yang ada. Itulah yang membuatkan saya terlalu kecewa kali ini," kata Arshad.

Dan kekalahan demi kekalahan dialami menyebabkan sasaran untuk menghadiahkan sebutir emas sudah berakhir dengan catatan hanya satu perak dan gangsa dalam edisi kali ini.

Nasib sama turut dialami skuad wanita yang tampil selaku pasukan 'masih hijau', tewas kepada Myanmar 16-21, 14-21 serta 14-21, 5-21 kepada gandingan tuan rumah. BH

No comments:

Post a Comment