Wednesday, December 16, 2009

Pesanan kapten skuad 1989


AHMAD (berdiri tiga dari kanan) bersama barisan pemain yang meraih pingat emas pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur selepas menewaskan Singapura 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Merdeka.


"MAIN dengan penuh kesungguhan dan jangan mudah putus asa. Bila dapat peluang, gunakannya dengan sebaik mungkin."

Demikian pesanan Ahmad Yusoff, kapten skuad bola sepak kebangsaan yang merangkul pingat emas Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur kepada pemain-pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) yang akan menentang Vietnam pada final Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos petang esok.

Menurut Ahmad, 49, bertemu Vietnam bukanlah sesuatu yang mudah tetapi pada masa yang sama tidak mustahil juga pemain skuad B-23 negara mencatat kemenangan, sekali gus menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas.

"Berdasarkan aksi separuh akhir bertemu Laos semalam (kelmarin), saya nampak permainan mereka bagus dan pemain kita nampak bersemangat.

"Saya yakin skuad 2009 ini mampu mengulangi kejayaan skuad 1989 dan berjaya menamatkan kemarau berpanjangan itu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Undian Piala FA 2010 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Mengimbas kembali final Sukan SEA 1989 di Stadium Merdeka itu, Ahmad berkata, semangat mereka ketika itu begitu tinggi memandangkan ia turut disaksikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.

"Semangat kami ketika itu cukup tinggi kerana mahu menebus keke- cewaan tewas 0-1 kepada Indonesia pada final Sukan SEA 1987 di Jakarta.

"Turun dengan hampir semua pemain yang sama pada 1987, kami akhirnya berjaya meraih pingat emas selepas menewaskan Singapura 3-1 pada final 1989 itu," kata Ahmad yang kini merupakan jurula- tih skuad Liga Super Kedah.

Ahmad memberitahu, kesebelasan utama skuad 1989 itu ditunjangi Rashid Hassan (penjaga gol), Razip Ismail, Serbegeth Singh, Kamarulzaman Yusof, Salim Mahmud (pertahanan), Mat Zan Mat Aris, Lim Teong Kim (tengah) manakala serangan diterajui Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan dan A. Anbala- gan.

Dua gol skuad bimbingan jurulatih Trevor Hartley itu dijaringkan oleh Teong Kim manakala satu lagi mene- rusi Dollah.

Sementara itu, seorang lagi pemain skuad 1989, Razip yang ditemui semalam menambah, pemain skuad B-23 negara tidak sepatutnya berada dalam tekanan apabila turun menghadapi Vietnam petang esok.

"Vietnam sepatutnya yang lebih tertekan kerana mereka mahu mengulangi kemenangan 3-1 ke atas Malaysia pada peringkat kumpulan. Lagipun kita tidak mendapat tekanan penonton.

"Tidak seperti pada final 1989, kami beraksi di hadapan penonton sendiri ditambah pula suasana perlawanan dalam keadaan hujan.

"Apa pun, saya yakin inilah skuad terbaik untuk menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas," kata Razip yang kini menjadi jurulatih skuad Liga Super Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment