Tuesday, December 15, 2009

Noraseela contoh atlit ada jati diri


NORASEELA Mohd Khalid adalah contoh terbaik yang seharusnya perlu ada pada setiap diri atlit negara - kecekalan, semangat, dan keazaman - seperti yang dipertontonkan ketika memenangi emas acara olahraga 400 meter berpagar kelmarin.

Berlari dengan tumit yang masih sakit, Noraseela atau Seela kepada rakan-rakannya, melupakan semua itu demi mencapai hasrat diri, negara dan juga persatuan, yang terdesak untuk pingat emas - bagi mengibarkan Jalur Gemilang.

Kemenangan Seela kelmarin pasti dipuji oleh mereka termasuk dari Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia yang sebelum ini membidasnya termasuk menuduhnya tidak patriotik apabila menarik diri daripada temasya Korat 2007 kerana kecederaan.

Namun, Seela tidak pernah mempedulikan itu semua, malah masih terus berlari hinggakan keputusannya menjalani latihan di Afrika Selatan atas pembiayaan Majlis Sukan Negara (MSN) turut dipertikaikan sehingga dicop sebagai 'anak emas' majlis itu.

Tetapi cintanya pada acara 400m berpagar membuatkan Seela terus berlari dengan matlamatnya ialah Sukan Olimpik London 2012, di mana kemungkinan di situlah noktah kepada kerjayanya yang sudah berlanjutan lebih satu dekad.

"Selepas empat tahun tidak beraksi dalam Sukan Sea, saya kembali semula atas pentas kemenangan," katanya. "Kini dalam empat temasya yang saya sertai, saya menang tiga daripadamya kecuali kekalahan 2001 di Kuala Lumpur yang amat pedih buat saya.”

No comments:

Post a Comment