Monday, December 14, 2009

Laos catat sejarah aibkan regu negara

SEJARAH tercipta dalam acara regu temasya - bukan kerana Malaysia berjaya menundukkan Thailand sebaliknya dipalit aib tewas kepada Laos di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ITECC), semalam.


Ia adalah kekalahan pertama regu negara kepada Laos di Sukan Sea - regu dianggap kerdil berbanding kuasa besar sukan itu seperti Myanmar dan Thailand.

Lebih memeritkan, Malaysia kini perlu mengharapkan ihsan Filipina menewaskan Laos bagi mencari ruang mendapatkan pingat lebih baik daripada gangsa selepas tewas dua perlawanan awal semalam.

Regu negara - Mohd Shazwan Husin, Mohd Hamikhairi Mohd Roslan dan Shafiq Ab Rahman tewas 15-21, 21-17, 15-13 kepada regu utama Laos, Thittaranh Bounpaseath, Champion Samsaimaivong dan Daong Savavongsay.

Sebelum itu mereka turut tewas 2-0 kepada pasangan utama Thailand pada perlawanan awal menyebabkan skuad negara kini tanpa sebarang mata dalam saingan membabitkan lima negara itu.

“Tekong banyak membuat kesilapan, kerap servis tidak melepasi jaring dan terkeluar,” kata jurulatih negara, Haris Abd Rahman yang mengeluarkan Shazuan dan digantikan dengan Nor Azman Abd Hamid pada set ketiga.

Tambah perit, regu wanita (Rahilah Harun, Nor Farhana Ismail dan Noor Fairuz Azizan) tewas 12-21 dan 14-21 kepada Laos.

No comments:

Post a Comment