Thursday, December 17, 2009

Hanya perak daripada Robani


ROBANI (kiri) sekadar memenangi pingat perak dalam acara 110m lari berpagar.


VIENTIANE, Laos - Hajat atlet olahraga negara, Mohd. Robani Hassan untuk kembali menggenggam pingat emas acara 110 meter lari berpagar lelaki pada Sukan SEA XXV tidak kesampaian.

Robani sekadar berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatatkan masa 15.05 saat pada saingan akhir acara 100m lari berpagar di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional semalam.

Emas acara tersebut dimenangi Jamras Rittidet selepas pelari Thailand itu merekodkan masa 13.89s, sekali gus memadam rekod Sukan SEA iaitu 13.91s yang dilakukan atlet negara, Rayzam Shah Wan Sofian pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.

Seorang lagi pelari Thailand, Suphan Wongsriphuck pula menamatkan saingan di tangga ketiga dengan catatan masa 14.16s manakala rakan senegara Robani, Muhd. Faiz Mohammad di tempat keempat dalam acara yang disertai empat atlet sahaja.

"Kedua-dua pelari Thailand memiliki sedikit kelebihan kerana mereka masing-masing berada di lorong ketiga dan keenam. Saya dan Faiz pula berada di tengah-tengah dengan saya di lorong keempat, Faiz pula di lorong kelima.

"Bagaimanapun, itu bukan alasan mengapa saya tewas hari ini (semalam). Saya harus akui pelari Thailand itu (Suphan) terlalu pantas dan dia berhak untuk meraing pingat emas," kata Robani ketika ditemui semalam.




Pada Sukan SEA 2003 di Hanoi, Vietnam, Robani turut meraih pingat perak. Dia berjaya menebus kekecewaannya itu dengan membawa pulang pingat emas pada temasya 2005 di Manila, Filipina. Pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand pula, Robani tidak beraksi ekoran masalah kecederaan.

Ketiadaan Robani di Korat menyaksikan Rayzam Shah menggantikan tempatnya dan pelari kelahiran Sabah itu berjaya mencipta kejutan apabila meraih pingat emas selain memperbaharui rekod Sukan SEA.

"Kegagalan ini tidak akan sesekali mematahkan semangat saya untuk terus mengibar cabaran negara pada masa akan datang. Sebaliknya, saya berazam untuk kembali bangkit dan menjadikan kegagalan ini sebagai pembakar semangat," kata Robani yang mempunyai catatan peribadi terbaik iaitu 13.85 yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia tahun lalu.

Sementara itu, Faiz cukup terkilan dan kecewa kerana gagal menamatkan perlumbaan apabila terjatuh selepas melanggar pagar yang keenam.

"Sekali lagi harapan saya untuk meraih emas pada Sukan SEA gagal. Saya sudah cukup bersedia untuk beraksi pada Sukan SEA kali ini tetapi tidak sangka pula semuanya akan berakhir macam ini (gagal menamatkan perlumbaan)," jelas Faiz.

Pada Sukan SEA 2005 di Manila, Faiz meraih pingat perak dan dua tahun kemudian di Korat, pelari berusia 26 tahun itu sekadar merangkul gangsa.

Acara 100m lari berpagar wanita menyaksikan pelari Indonesia, Dedeh Erawari muncul juara dengan catatan 13.34s. Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik atlet Thailand, Wallapa Punsoongneun (13.84s) dan pelari Indonesia, Agustina Bawele (14.21s).

Sementara itu, atlet lelaki negara, Muhd. Hafizuddin Sahadan meraih pingat gangsa dalam acara lompat bergalah selepas melepasi ketinggian 4.50 meter.

Emas dan perak milik dua atlet Thailand, Kreeta Sintawacheewa (5.21m) dan Sompong Saombankuay (5.00m).

No comments:

Post a Comment