Wednesday, December 16, 2009

Hafiz, Faizal melangkah ke final


MOHD Hafiz Mahari dan Faizal Abdullah masing-masing menempah tiket ke final, selepas masing-masing menang selesa di saingan separuh akhir di Pusat Konvensyen Lao Itecc, semalam.

Hafiz mara selepas menewaskan pesilat Thailand, Niphon Jantara 5-0 dalam kategori 50kg lelaki manakala Faizal Abdullah menang 4-1 mengatasi wakil Vietnam, Nguyen Thanh Quyen bagi kategori 80kg.

Selain mereka, Malaysia turut mempunyai wakil di final esok menerusi Mohd Fauzi Khalid dalam kategori 70kg serta Emy Latip (55kg).

Selepas kecewa 'dimainkan' Indonesia dalam saingan silat seni ganda putra semalam, skuad negara menerusi Hafiz dan Faizal mempamerkan aksi bertenaga kecuali Siti Rahmah Mohd Nasir yang kecundang di tangan pesilat Thailand dalam kategori 70kg.

"Saya gembira dengan kejayaan ini kerana di Korat dulu saya hanya meraih gangsa," kata Faizal yang beralih kepada kelas 80kg daripada 75kg sebelum ini.

"Tadi pun (semalam) saya tidak begitu yakin dan pesilat Vietnam itu sentiasa mencuri peluang untuk mendapatkan mata."

Atlit berusia 29 tahun dari Pontian, Johor itu menegaskan dia akan cuba sebaik mungkin dalam saingan final dengan dia mungkin menggunakan taktik bertahan yang ternyata membawa tuah buatnya sepanjang temasya kali ini. BH

No comments:

Post a Comment