VIENTIANE - Perenang sensasi negara, Daniel Bego berada dalam kelas tersendiri.
Semalam, dia menambah dua lagi pingat emas untuk menjadikan keseluruhan lima emas yang diraihnya pada temasya Sukan SEA XXV di Pusat Renang, Kompleks Sukan Nasional.
Dia bukan sahaja berjaya memecahkan rekod Sukan SEA, malah turut mencatat rekod baru kebangsaan dalam saingan 200 meter gaya bebas.
Daniel mencatatkan masa 1 minit 49.22 saat, sekali gus memadam rekod kebangsaan miliknya, 1:50.92s yang dilakukan pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China. Catatan tersebut juga turut memperbaharui rekod Sukan SEA miliknya sendiri iaitu 1:52.32s yang dibuat di Korat, Thailand pada 2007.
Pingat perak acara 200m gaya bebas semalam diraih perenang Filipina, Miguel Molina yang mencatat masa 1:51.71s manakala pingat gangsa milik Jo- shua Lim dari Singapura dengan 1:51.76s.
Tidak lama selepas mencipta kejayaan dalam acara 200m gaya bebas, Daniel meraih emas kelimanya menerusi acara 200m kuak kupu-kupu dengan catatan 2:00.61s untuk meninggalkan dua pencabar terdekatnya iaitu perenang Indonesia, Donny Utomo (2:00.90s) dan perenang Vietnam, Thai Nguyen Vo (2:01.34s).
"Saya sendiri tidak pernah mengimpikan kejayaan seperti ini. Lima pingat emas dalam satu temasya Sukan SEA adalah suatu pencapai- an yang cukup membanggakan. Ia satu pencapaian terbaik dalam karier saya.
"Sebelum beraksi di Laos, saya hanya menetapkan sasaran untuk mempertahankan emas yang saya menangi dalam acara (200m gaya bebas dan 100m kuak kupu-kupu) pada Sukan SEA di Korat. Bagai- manapun, kejayaan yang saya capai ini memang di luar jangkaan saya," ujar Daniel.
Sebelum ini, Daniel meraih emas dalam acara 100m kuak kupu-kupu dan 100m gaya bebas selain 400m gaya bebas.
No comments:
Post a Comment