Tuesday, December 1, 2009

Rujuk sebelum ambil ubat


KUALA LUMPUR - Semua atlet yang bakal bertanding pada Sukan SEA Laos diingatkan supaya merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan bagi mengelak daripada positif dadah.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong berkata, bagi memastikan semua atlet negara punya pemahaman yang tinggi dalam perkara ini, topik doping akan diberi penekanan sepanjang perhimpunan kontinjen Sukan SEA XXV berlangsung di Putrajaya dari 30 November hingga 4 Disember.

Tegas Zolkples lagi, MSN dan ISN mengambil serius mengenai penyalahgunaan dadah kerana ia pernah berlaku kepada kontinjen negara sebelum ini dan tidak mahu insiden hitam itu berulang.

"Adalah lebih baik kalau atlet itu tidak dapat bertanding kerana kecederaan daripada dihantar pulang kerana positif dadah. Ia melibatkan maruah negara.

"Saya akui kadang kala memang sukar hendak menggelakkan perkara ini daripada berlaku tetapi kami telah mengambil segala langkah yang perlu untuk mencegahnya.

"Semua atlet akan dipastikan mempunyai pemahaman yang cukup mengenai isu dadah, malah mereka juga diwajibkan menjalani ujian doping secara rambang sebelum, ketika dan selepas Sukan SEA,'' ujar Zolkples selepas merasmikan Perhimpunan Kontinjen Sukan SEA Malaysia di Hotel Palm Garden Putrajaya semalam.

Kata Zolkples, bukan ubat-ubatan saja mampu mengundang masalah tidak diduga kepada atlet negara, malah mereka juga harus berhati-hati dalam soal pemakanan dan minuman.

"Mereka kena berhati-hati walaupun hanya mengambil ubat batuk atau ubat lelah, malah kadangkala bahan larangan itu boleh berada dalam minuman seperti tongkat ali.

"Dalam kata lain, atlet kena mendapatkan kebenaran dari ISN atau doktor sebelum mengambil makanan atau minuman suplemen kerana ia mungkin mengandungi bahan yang diharamkan,'' katanya lagi.

Sementara itu Zolkples turut menambah, seperkara lagi yang sedikit membimbangkannya kurang seminggu menjelang temasya Laos bermula, 9-18 Disember ini adalah mengenai masalah kecederaan.

Justeru, beliau mengingatkan semua atlet supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam setiap perbuatan mereka untuk mengelak kecederaan dan kemalangan. UTUSAN

No comments:

Post a Comment