Wednesday, November 25, 2009

Menembak yakin lepasi sasaran


(dari kiri) Bibiana Ng, Joseline Cheah dan Nur Masitah Badrin yang akan bertarung di Sukan SEA Laos, bulan depan.

KUALA LUMPUR - Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) memilih kualiti berbanding kuantiti apabila hanya menyenaraikan 14 penembak untuk Sukan SEA bulan depan.

Walaupun jumlah penembak kali ini lebih kecil daripada skuad di Korat 2007, namun NSAM yakin untuk membawa pulang empat pingat emas daripada 10 acara yang akan disertai Malaysia - sekali ganda dari kutipan dua emas yang dimenangi dua tahun lalu.

Kehadiran semula trio pistol wanita, Bibiana Ng, Joseline Cheah dan Nur Masitah Badrin dari penggantungan dua tahun banyak mempengaruhi sasaran tinggi badan menembak kebangsaan itu.

Malah, NSAM turut mengakui kebanyakan sasaran mereka diletakkan kepada penembak wanita termasuk skuad raifal yang diketuai Nur Suryani Taibi.

Suryani tidak pernah gagal menghadiahkan emas buat Malaysia pada setiap Sukan SEA yang disertai sejak 2001, malah turut meraih satu daripada dua emas negara di Korat dalam acara 50m rifle prone.

Bibiana pula memiliki reputasi tinggi untuk menghadiahkan emas dalam 10m air pistol individu, malah kombinasi bersama Joseline dan Nur Masitah membentuk pasukan paling mantap di Laos.

Selain itu Malaysia juga mempunyai peluang yang baik dalam acara standard pistol lelaki menerusi Hasli Izwan Amir Hassan.

Persiapan Hasli untuk menghadapi Sukan SEA cukup sempurna apabila dia memecahkan rekod kebangsaan berusia 22 tahun dalam acara 25m di Kejohanan Trofi Tun Haniff, bulan lalu.

Penembak berusia 32 tahun itu mencatat 570 mata untuk mengatasi rekod lama milik Sabiamad Ahmad - 566 mata. Pencapaian itu memberi keyakinan kepadanya untuk mencari lebih dari sebutir emas di Laos.

"Sebenarnya sasaran utama saya adalah dalam acara 25m rapid fire pistol individu tetapi kejayaan memecah rekod kebangsaan dalam standard pistol memberi keyakinan kepada saya untuk mencari emas acara tersebut,'' akui Hasli. UTUSAN

No comments:

Post a Comment