Thursday, October 29, 2009

Rajagobal dilanda resah


AZLAN (kiri) antara pemain yang dipanggil menyertai skuad B-23 negara.





PERSIAPAN skuad bawah 23 tahun (B-23) negara terjejas.

Semuanya gara-gara masalah kecederaan yang dialami oleh beberapa tonggak utamanya.

Mereka hanya ada masa lima minggu lagi untuk membuat persiapan sebelum memulakan misi pada Sukan SEA XXV Laos.

Perkembangan itu mengundang resah kepada jurulatih, K. Rajagobal. (gambar)

Selepas pemain sayap dari Kedah, Khyril Muhymeen Zambri terpaksa berehat panjang setelah menjalani pembedahan lutut, enam lagi pemain turut mengalami kecederaan ketika ini.

Mereka termasuk Amirulhadi Zainal dan Asraruddin Putra Omar (Selangor), Azmi Muslim dan Bunyamin Umar (UPB-MyTeam), Farderin Kadir (KM Naza) dan Muslim Ahmad (Harimau Muda).

Rajagobal tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbangnya dengan situasi tersebut yang secara langsung menjejaskan persiapan mereka menghadapi dua tugas penting dalam masa terdekat.

Selain membuat persediaan menghadapi Sukan SEA, skuad B-23 negara ini juga akan menentang Uzbekistan pada 14 dan 18 November ini pada pusingan kelayakan Piala Asia 2011.

"Ada dua perkara yang saya risaukan iaitu keletihan serta kecederaan pemain setelah mereka beraksi dalam Piala Malaysia.

"Perlawanan akhir hanya akan berlangsung pada 7 November dan saya ada masa seminggu sahaja untuk membuat persiapan sebelum kita bertemu Uzbekistan.

"Selepas itu, kita ada seminggu lebih saja sebelum beraksi pada Sukan SEA.

"Jadi, saya nak semua orang yang memberi sasaran untuk kita memenangi pingat emas pada Sukan SEA memahami situasi ini.

"Siapa yang tidak mahu menang, tapi kita kena juga lihat faktor sekeliling.

"Apa pun, kami akan tetap mencuba yang terbaik ketika bertemu Uzbekistan dan juga pada Sukan SEA kelak," kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagi perlawanan bertemu Uzbekistan, Rajagobal bakal menyelitkan dua pemain melebihi had umur yang ditetapkan iaitu kapten Selangor, Amri Yahyah dan kapten KL Plus, Norhafiz Zamani Misbah, tetapi memilih untuk tidak memanggil kapten Kelantan, Indra Putra Mahayuddin.

"Saya tahu Indra beraksi cemerlang bersama Kelantan. Tapi saya kena fikir bahawa sasaran utama skuad ini ialah Sukan SEA. Jadi saya perlu beri peluang lebih kepada pemain B-23 pada dua perlawanan bertemu Uzbekistan.

"Kita juga mungkin mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang Indonesia pada 9 November sebelum turun menentang Uzbekistan," katanya yang akan memanggil semula pertahanan Kelantan, Ahmad Azlan Zainal, 23, bagi mengisi tempat Muslim yang cedera. - KOSMO

No comments:

Post a Comment